Lima tahun kesusahan 103 murid Kampung Perigi Acheh berakhir

JOHOR BAHRU: Kira-kira lima tahun lalu murid-murid dari Kampung Perigi Acheh di sini terpaksa berulang alik 10 kilometer dalam keadaan jalan rosak dan berdebu untuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Langsat kini berakhir.

Ini kerana bangunan SK Perigi Acheh sementara sudah boleh digunakan selepas siap dibina bersebelahan SK Perigi Acheh yang lama.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, sekolah sementara itu dibina pada Januari lalu sudan siap bulan ini dengan kos RM2.3 juta yang akan digunakan 103 murid sekolah rendah, sekolah agama dan prasekolah.

“Sekolah ini akan digunakan sementara menunggu peruntukan daripada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membina sekolah baharu di tapak sekolah yang lama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Sekolah Kebangsaan Perigi Acheh di Kampung Perigi Acheh di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, Azizul Bachok dan Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Mohd Hanafi Samad.

Mohamad Fazli berkata, murid SK Perigi Acheh yang lama terpaksa dipindahkan selepas pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesahkan struktur bangunan lama dan tanah di SK Perigi Acheh yang lama tidak lagi selamat.

Kawasan itu disahkan tidak selamat dan sebelum ditutup pada 30 Julai 2021 lagi dan sejak itu murid-muridnya terpaksa menumpang di SK Tanjung Langsat.

Susulan itu ibu bapa murid SK Perigi Acheh lama tidak puas hati selain mendesak pihak berkaitan supaya segera menaik taraf atau membina sekolah yang baharu selepas SK Perigi Acheh lama dikosongkan.

Kemudian kerajaan negeri bersetuju memperuntukkan RM50,000 bagi menyediakan bas sekolah kepada murid terlibat untuk ke SK Tanjung Langsat pada tahun lalu.

Sementara itu, Mohamad Fazli berkata, projek pembinaan jambatan dan jalan raya di Kampung Perigi Acheh akan bermula bulan depan dengan jangkaan siap 18 bulan.

Jelasnya, projek pembinaan anggaran RM14 juta itu telah dimulakan sejak 2019 dan sepatutnya siap pada 2020, namun mengalami masalah termasuk berlaku runtuhan dan isu kontraktor.

“Justeru itu, kerajaan negeri buat keputusan untuk menggantikan kontraktor dan reka bentuk (susulan runtuhan), maka kos terbaru akan mengalami sedikit tambahan (daripada kos asal),” katanya.

Beliau turut berharap jangka masa pembinaan projek dapat dipercepatkan lagi menerusi kontraktor penyelamat, sekali gus menjelaskan kejayaan projek itu akan mempermudahkan lagi proses pembinaan sekolah baharu di kampung tersebut. – Majestic

More From Author

Keluarga murid maut dalam van sekolah failkan saman RM2 juta

Lelaki Indonesia maut, pelajar cedera