Lelaki maut, isteri cedera dalam perjalanan ke Singapura

ISKANDAR PUTERI: Seorang lelaki maut manakala isterinya cedera apabila motosikal dinaiki kemalangan di Kilometer 0.6 Lebuhraya Linkedua arah selatan di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang berusia 31 tahun bersama-sama isteri berusia 29 tahun dalam perjalanan ke tempat kerja di Singapura pada pukul 2.40 petang

“Penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang lori yang bergerak perlahan akibat kesesakan lalu lintas.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kerana kecederaan di bahagian kepala.

“Pembonceng motosikal pula cedera di kepala dan tangan kiri sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke HSA Johor Bahru untuk bedah siasat sementara pemandu lori terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya.

Kumarasan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Kaunter Aduan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Iskandar Puteri di talian 07-5101322 bagi membantu siasatan.- MAJESTIC

More From Author

Jual arak belakang bangunan kedai, rampasan RM75,000

UTM bantu penuntut Iran, Asia Barat terjejas perang