KOTA TINGGI: Kempen Sekolah Selamat akan dilancarkan minggu depan dalam usaha memastikan masalah disiplin dalam kalangan pelajar dapat dibendung.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata,
Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam menganjurkan kempen tersebut.
“Objektif kempen ini sebagai sokongan terhadap Kempen Anti Buli yang telah dilancarkan pada tahun lalu bagi menjadikan sekolah sebagai tempat yang selamat buat pelajar menuntut ilmu.
“Dalam mendepani pelbagai isu yang berlaku membabitkan pelajar sekolah, JPNJ terpanggil untuk mengadakan kempen ini bagi memastikan pelajar jelas bahawa sekolah bukanlah tempat untuk membuat aksi yang bukan-bukan,” katanya selepas merasmikan Karnival Pendidikan Kerjaya Murid Peringkat Negeri Johor 2026 di Kolej Universiti Yayasan Pelajaran Johor, di sini hari ini.
Karnival Pendidikan Kerjaya Murid Peringkat Negeri Johor selama dua hari itu dihadiri seramai 12,000 pelajar dari seluruh negeri untuk mendapatkan pendedahan mengenai peluang melanjutkan pelajaran.
Aznan berkata, kempen tersebut bukan bersifat one-off, sebaliknya akan diadakan beberapa aktiviti, program kesedaran sepanjang tahun membabitkan semua pelajar supaya mereka berasa selamat dan selesa di sekolah.
Tegasnya, Kempen Anti Buli yang dilaksanakan tahun lalu menampakkan tanda positif setelah jumlah kes buli menunjukkan penurunan berbanding tahun sebelumnya.
“Alhamdulillah, isu-isu membabitkan kes buli di negeri ini sangat kurang berbanding dengan sebelum ini. Jadi, kita berterima kasih kepada semua pihak khususnya ibu bapa dan guru dalam menjayakan kempen itu,” katanya.
Diminta mengulas mengenai kejadian gaduh membabitkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Selesa Jaya, Jumaat lalu, beliau serahkan perkara itu kepada pihak berkuasa.
“Pergaduhan itu berlaku di luar kawasan sekolah dan turut membabitkan orang luar. Jadi, mereka terlibat telah ditahan dan dihadapkan ke mahkamah, jadi kami serahkan kepada pihak berkuasa,” katanya.- MAJESTIC
