UTM bantu penuntut Iran, Asia Barat terjejas perang

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan membantu para penuntut dari Asia Barat, terutamanya Iran bagi membolehkan mereka menamatkan pengajian kerana terkesan akibat perang.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Prof. Ts Dr. Ali Selamat berkata, konflik yang berterusan itu mengganggu proses penghantaran dana dari negara asal untuk beberapa pelajar Asia Barat khususnya dari Iran.

Perkembangan itu memberi kesan terhadap keupayaan mereka untuk membiayai pengajian.

“Terdapat kira-kira 200 pelajar Iran belajar di kampus UTM Kuala Lumpur dan Johor Bahru dalam ijazah sarjana dan Ph.D dengan 70 peratus daripadanya mengikuti pengajian di sini.

“Pendaftaran baharu dari Iran telah berkurangan manakala pelajar sedia ada menghadapi kesukaran untuk menerima sokongan kewangan dari negara asal termasuk daripada keluarga berikutan cabaran geopolitik semasa.

“Pihak kita ada sediakan bantuan dan mereka perlu memohon, kita ada dana wakaf dan yang terbaru kita ada buka The UTM ASCEND Scholarships kepada pelajar tempatan dan pelajar antarabangsa yang ingin memohon di peringkat Ph.D,” katanya dktemui selepas merasmikan UTM Premium Career Festival 2026 di Dataran UTM, Skudai di sini hari ini.

UTM juga akan bekerjasama dengan kedutaan Iran dan negara Asia Barat lain yang terjejas selain turut memohon bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta untuk membantu pelajar terbabit.

Selain itu, UTM juga akan mempertimbangkan untuk memberi potongan bayaran yuran pengajian kepada penuntut terbabit tetapi berdasarkan kes yang tertentu sahaja.

Katanya, bukan hanya penuntut dari Iran yang berdepan masalah seperti itu, malah juga dari negara lain di rantau tersebut seperti Yaman, Syria dan Palestin.

Dalam kes penuntut tidak dapat kembali ke kampus kerana konflik, beliau berkata, UTM membenarkan mereka mengikuti pengajian secara dalam talian dengan syarat mempunyai akses internet.

“Jika mereka tidak dapat mengakses kemudahan dalam talian, kami akan tangguh pengajian atau sebagainya (mencari jalan penyelesaian lain),” katanya.- MAJESTIC

More From Author

Lelaki maut, isteri cedera dalam perjalanan ke Singapura

Kempen Sekolah Selamat di Johor tangani isu disiplin – Aznan