BATU PAHAT: Seorang wanita mencari adik perempuan kandungnya yang meninggalkan rumah sejak lima tahun lalu dan tidak dapat dikesan hingga kini.
Ang Kwee Ai, 54 berkata, adiknya Ang Kuay Eng, 52, keluar dari rumah pada Mac 2020 tanpa memaklumkan arah tujuannya namun percaya wanita itu kini berada di negara jiran (Singapura) atau di Johor Bahru.
Katanya, ketika keluar dari rumah, adiknya itu telah meninggalkan seorang anak lelaki bernama Gavin Ang Jun Ming yang berusia lima tahun pada ketika itu untuk dijaganya.
“Anak kepada adik saya itu telah dilahirkan di Hospital KK Women and Children’s, Singapura pada 31 Ogos 2015 dan kini sudah berusia 10 tahun namun masih belum mempunyai sebarang dokumen diri.

“Keadaan itu menyebabkan saya terpaksa menghantar dia ke sekolah persendirian di Batu Pahat untuk mendapatkan pelajaran kerana bimbang jika dibiarkan akan menjejaskan proses pembelajarannya pada masa akan datang,”katanya.
Menurut Kwee AI lagi, lebih membimbangkan tidak lama lagi kanak-kanak itu akan mula belajar di peringkat sekolah menengah namun jika tidak mempunyai dokumen diri pasti akan menyukarkan mereka untuk menghantarnya ke sekolah.
Ujarnya, pencarian adik perempuannya itu juga adalah susulan daripada keadaan ibu dan ayahnya yang semakin uzur ketika ini serta memerlukannya untuk pulang walaupun hanya sekejap.
“Jika ada sesiapa yang mengenali adik saya, diharapkan dapat memaklumkan kepada saya di talian 017‑976 7168 untuk kami berjumpa semula dan menyelesaikan semua urusan berkaitan anak lelakinya itu,” katanya. – Majestic
