KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan reman dua individu termasuk seorang pengerusi sebuah pertubuhan kerana disyaki menyalah guna kuasa melibatkan kerja-kerja baik pulih kuaters di salah satu daerah di negeri ini yang bernilai kira-kira RM39,000.
Perintah reman selama lima hari sehingga 2 Ogos 2025 terhadap kedua-dua suspek telah dikeluarkan Majistret Eliana Ismail selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar pagi tadi.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30 dan 50-an telah ditahan kira-kira jam 4 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut sekitar November 2023.
“Siasatan awal mendapati suspek utama yang menjawat jawatan sebagai pengerusi telah menyalahgunakan jawatannya dengan melantik sebuah syarikat kontraktor di mana suspek mempunyai kepentingan bagi melaksanakan kerja-kerja membaik pulih kuaters pertubuhan tersebut di salah sebuah daerah negeri ini yang bernilai kira- kira RM39,000,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – Majestic
