CYBERJAYA: Penduduk Fasa Dua The Mulia Residences menganjurkan pesta durian pada Sabtu lalu sebagai platform untuk berkumpul dan merapat ukhuwah antara satu sama lain.
Pengarah Program, Melvin Paul berkata, ini adalah tahun kedua penganjuran program itu selepas ia dianjurkan tahun lalu.
“Lebih daripada 200 jiran tetangga serta ahli keluarganya yang hadir memeriahkan program pesta durian yang dianjurkan.
“Objektif penganjurannya adalah untuk merapatkan hubungan antara kami jiran tetangga yang datangnya dari pelbagai latar belakang kaum dan agama,” katanya di sini hari ini.
Lebih manis, kata Melvin, penganjuran program itu adalah hasil daripada kerjasama dan gotong royong antara penduduk sendiri.
“Segala persiapan majlis dilakukan menerusi semangat kerjasama termasuklah melibatkan penyediaan makanan tambahan yang dimasak sendiri oleh penduduk secara gotong royong.
“Sambil menikmati durian dan buah-buahan tempatan lain seperti manggis dan rambutan, jiran tetangga mengambil peluang untuk bertanya khabar serta mengenali antara satu sama lain dengan lebih rapat lagi,” katanya.
Lebih menarik, semua sisa kulit durian yang telah digunakan tidak dibuang begitu sahaja, sebaliknya ia dikumpul serta diserahkan kepada sebuah syarikat pengusaha tenaga boleh diperbaharui untuk dikitar semula dan diproses menjadi tenaga.
“Ini adalah inisiatif kami untuk memastikan aktiviti yang kami anjurkan juga mesra alam sekitar,” katanya.
