KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan reman tiga pegawai kanan polis negeri termasuk seorang pesara kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM110,000 sebagai balasan tidak mengganggu serta melindungi kegiatan pengedaran dadah dan air ketum sekitar Pahang.
Perintah reman selama tujuh hari sehingga 4 Ogos 2025 terhadap ketiga-tiga suspek telah dikeluarkan Majistret Tan Chiew King selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Temerloh pagi tadi.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 30 dan 50-an telah ditahan kira-kira jam 8.30 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM cawangan Temerloh.

“Siasatan awal telah menahan empat suspek dan mendapati kesemuanya disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut dari tahun 2022 hingga 2024.
“Salah seorang suspek dipercayai telah menerima wang rasuah secara bulanan antara kira-kira RM4,000 hingga RM5,000 melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi miliknya yang kemudiannya diagihkan kepada tiga lagi suspek ke akaun bank peribadi masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, seorang lagi suspek telah dilepaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan SPRM. – Majestic
