‘Kami tak mahu dia, ada yang lebih layak’

JOHOR BAHRU: “Kami tak mahu, dia tak layak, malah ramai orang kampung tak kenal dia.”

Demikian antara luahan penduduk Kampung Pasir Puteh di Pasir Gudang, dekat sini yang  sepakat menolak pelantikan ketua kampung yang baharu kerana mendakwa individu berkenaan tidak layak memegang jawatan tersebut.

Wakil penduduk, Md. Zakaria Md. Yunos, 47, mendakwa individu yang baharu dilantik sebelum ini jarang melibatkan diri dalam program anjuran penduduk serta bukan berasal dari kampung berkenaan.

“Sepanjang tempoh dia berpindah ke sini juga, dia jarang melibatkan diri dengan program-program penduduk. Dia juga sudah agak berusia sedangkan ada calon yang lebih layak dan lebih muda dan aktif bersama penduduk.

“Jadi, kami harap kehendak penduduk dapat didengari dan pihak berkuasa dapat mengkaji semula lantikan berkenaan agar yang individu benar-benar layak dilantik sebagai ketua kampung,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan bantahan terhadap lantikan itu, hari ini.

Md. Zakaria memberitahu, pihaknya telah mendapatkan tandatangan lebih 500 penduduk yang mahu lantikan tersebut ditarik semula dan diberi kepada individu lebih layak.

“Penduduk akan serahkan surat bantahan ini kepada Pejabat Menteri Besar, Pejabat Daerah serta beberapa agensi lain yang bersesuaian dalam waktu terdekat,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Nadimom Pungut, 66, pula memberitahu, majoriti penduduk kampung itu juga tidak mengenali ketua kampung yang baharu dilantik itu.

“Penduduk hairan mengapa dia boleh dilantik sedangkan ramai penduduk tidak mengenalinya. Kita ada calon yang lebih layak dan telah sama-sama berkhidmat sebagai setiausaha kepada ketua kampung terdahulu.

“Individu tersebut bukan sahaja lebih muda, malah telah memangku tugas tersebut selama lebih enam bulan sebelum ini kerana ketua kampung sedia ada jatuh sakit,”  katanya 

Menurutnya, Kampung Pasir Puteh mempunyai kira-kira 15,000 penduduk dan  merupakan kampung induk bagi lapan kawasan perkampungan lain di sekitar Mukim Plentong.

Seorang lagi penduduk, Kamariah Mohamed, 69, turut mempersoalkan mengapa individu yang telah terbukti berjaya menjalankan tugas membantu ketua kampung terdahulu tidak dilantik untuk berkhidmat kepada penduduk.

“Kami pelik, orang yang pertama turun padang apabila ada rumah rosak akibat ribut, dinaiki air ketika banjir dan apabila ada penduduk sakit tidak dilantik. Tetapi orang yang tidak pernah nampak batang hidung pula dilantik,” soalnya. – MN

More From Author

FAM zahir penghargaan kepada Tunku Mahkota Ismail

Beri peluang kepada Amanah