FAM zahir penghargaan kepada Tunku Mahkota Ismail

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjunjung kasih ke atas Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail atas inisiatif baginda dalam merevolusikan pasukan kebangsaan.

Presidennya, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub berkata, sentuhan baginda mula menampakkan impak selepas Malaysia membenam Vietnam 4-0 dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil Selasa lepas.

“Mewakili Jawatankuasa Eksekutif FAM, saya ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tunku Mahkota Ismail atas inisiatif dan komitmen baginda dalam merevolusikan pasukan Harimau Malaya.

“Junjung kasih kepada Tunku Mahkota Ismail yang sentiasa prihatin serta memberikan sokongan dan bantuan kepada FAM dalam usaha meningkatkan lagi prestasi skuad Harimau Malaya.

“Kejayaan ini satu permulaan positif buat Harimau Malaya dan bola sepak Malaysia secara keseluruhannya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, Mohd Joehari mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali Ketiga Bagi Penggal 2025-2029 yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan atas bantuan khususnya daripada segi kewangan bagi memperkasakan pasukan kebangsaan.

“Peruntukan daripada kerajaan Malaysia ini pastinya akan meningkatkan lagi motivasi buat para pemain pasukan kebangsaan bagi mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.

“Sekali lagi saya mewakili Jawatankuasa Eksekutif FAM ingin mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri atas sokongan penuh beliau buat pasukan Harimau Malaya,” katanya lagi.

More From Author

Rakaman percakapan Jovian Mandagie di Jakarta bukan Bali – Azam Baki

‘Kami tak mahu dia, ada yang lebih layak’