Beri peluang kepada Amanah

JOHOR BAHRU: Parti Amanah Negara (Amanah) meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peluang kepada pemimpin daripada parti itu dalam Kabinet sekiranya bercadang  melakukan rombakan susulan peletakan jawatan dua menteri, baru-baru ini.

Naib Pengerusi Amanah Johor, Dr. Zuhan Zain berkata, seruan itu dibuat apabila ada parti lain yang sudah membuat tuntutan bagi mengisi kekosongan tersebut walaupun sedar kuota dua jawatan menteri tersebut adalah milik Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Memang benar kekosongan dua kementerian itu merupakan kuota PKR, namun apabila UMNO mula mencadangkan pemimpin dari luar PKR, maka ia membuka ruang kepada semua parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan untuk mengemukakan calon masing-masing.

“Ini termasuk UMNO yang dilihat mengemukakan nama pemimpin yang telah dipecat keahlian,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Dua menteri Kabinet, iaitu Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad sebelum ini mengumumkan peletakan jawatan daripada pentadbiran Kerajaan Perpaduan selepas masing-masing tewas dalam pemilihan PKR, bulan lalu. 

Zuhan berkata, permintaan Amanah Johor wajar dipertimbangkan susulan prestasi cemerlang pemimpin-pemimpin parti itu dalam kerajaan selama ini.

“Kepimpinan Amanah sentiasa komited mempertahankan Kerajaan Perpaduan daripada serangan pihak lawan. Kami yakin dengan kemampuan pemimpin kami untuk terus memperkukuhkan pentadbiran negara,” katanya.

Zuhan turut menyifatkan usaha dan komitmen Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam memperjuangkan agenda Rahmah dan Datuk Seri Mohamad Sabu selaku Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan sebagai bukti kesungguhan Amanah.

Malah, prestasi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad serta Timbalan Menteri seperti Adly Zahari dan Datuk Aiman Athirah Sabu adalah membanggakan. – MN

More From Author

‘Kami tak mahu dia, ada yang lebih layak’

Pesawat Boeing bawa 242 orang terhempas