JOHOR BAHRU: Seorang daripada dua mangsa yang maut dalam kebakaran di sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Tenang 14, Taman Damai Jaya, Skudai di sini, hari ini hamil tiga bulan.
Suami mangsa, Irfan Ibrahim, 24, isterinya, Wan Nurkhairani Wan Norzaini, 21, hamil anak sulung dan dijangka bersalin Ogos ini.
Ketika kejadian dia tidak berada di rumah kerana sedang bekerja di sebuah kilang di Gelang Patah di sini, sebelum dimaklumkan tentang kejadian oleh adik-beradiknya.
“Lepas dapat panggilan, saya bergegas pulang ke rumah dan tiba lebih kurang pukul 7 pagi tadi. Masa itu api pun dah padam.
“Isteri dekat rumah dengan kawan kami. Dulu kami satu tempat kerja, bila dia (mangsa lelaki) berhenti kerja, dia menumpang di sini sejak dua bulan lalu, sebab dia asal dari Sarawak, tiada rumah dan tiada siapa di sini,” katanya ketika ditemui di rumah berkenaan, hari ini.
Terdahulu, portal ini melaporkan seorang lelaki dan seorang wanita maut dalam kebakaran di rumah teres dua tingkat itu, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 5 pagi, turut meninggal dunia adalah rakan pasangan itu, dikenali sebagai Mohd Shahrizal Yap, 22, yang menumpang di rumah berkenaan sejak dua bulan lalu.
Irfan yang berasal dari Taman Sri Pulai di sini dan sudah mendirikan rumah tangga pada 2024 berkata, mereka sudah setahun tinggal di rumah berkenaan yang juga rumah milik keluarga isterinya itu.
“Saya reda dengan takdir yang berlaku.
Isteri saya asal dari Kuantan, Pahang. Ini kira rumah ibu mentua saya, kami tinggal di sini.
“Bila jadi kejadian seperti ini, perasaan saya bercampur-baur. Perasaan asal saya gembira nak timang anak, tetapi ini yang berlaku. Sedih memang sedih, tetapi sudah takdir, saya reda,” katanya.
Sementara itu, seorang jiran, Tuminah Bakir, 61, berkata, ketika kejadian itu, dia ada mendengar bunyi orang membaling-baling barang dari rumah berkenaan.
Dia beranggapan tindakan tersebut mungkin dilakukan mangsa untuk memberi petanda mereka ada di tingkat atas.
“Saya ada terdengar bunyi macam barang-barang jatuh, saya minta suami tengok, kata suami nampak asap dari rumah itu.
“Kami semua keluar memang nampak ada api marak dari kawasan tangga rumah. Kami tak dengar bunyi jeritan atau apa-apa suara, yang dengar macam bunyi barang jatuh.
“Sampailah bila bomba datang dan bawa pengusung, kami diberitahu ada mangsa di tingkat atas. Kami terfikir juga mungkin mereka yang baling barang untuk beritahu mereka ada di tingkat atas,” katanya.
Menurut Tuminah, sementara menunggu ketibaan bomba, dia dan beberapa jiran lagi membantu memadamkan kebakaran menggunakan sumber air yang ada.
Katanya, rumah itu sebelum ini ditinggalkan kosong selepas pemiliknya yang juga pasangan warga emas meninggal dunia, sebelum suami isteri itu berpindah masuk.
“Kami tak kenal sangat mereka, sebab mereka kerja sebelah malam, jadi waktu siang mereka mungkin tidur dan berehat.
Tetapi kami tahu mereka baharu kahwin dan isterinya baharu mengandung,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha ketika dihubungi mengesahkan insiden berkenaan.
Beliau berkata, kebakaran itu mengorbankan dua individu iaitu seorang wanita berusia 21 tahun dan seorang lelaki berusia 22 tahun yang juga penyewa bilik di rumah berkenaan.- Majestic
