BATU PAHAT: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Yong Peng di sini hari ini atas pertuduhan membunuh kekasihnya di sebuah rumah di Taman Damai, di sini hujung bulan lalu.
Lim Chee Seong, 44, menggangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Arul Noval Dass.
Namun, tiada pengakuan direkodkan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu antara pukul 10 malam 26 Januari hingga 11 pagi 27 Januari dengan menyebabkan kematian kepada Lim Bee Lan, 41.
Untuk kesalahan itu, Chee Seong didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan maksimum 12 sebatan jika tidak dihukum mati.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 27 April ini sebagai tarikh penyerahan laporan bedah siasat, perubatan, Asid deoksiribonukleik (DNA) dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Pada 30 Januari lalu, polis menahan seorang lelaki dalam keadaan kritikal dalam sebuah rumah sewa di taman itu selepas menemui seorang wanita yang telah meninggal dunia dalam sebuah bilik.
Pihak polis dengan kerjasama pemilik rumah sewa dengan bantuan bomba memecah masuk rumah disewa pasangan itu selepas keluarga memaklumkan sudah tiga hari tidak dapat menghubungi mangsa.
Suspek juga berada dalam keadaan kritikal akibat cubaan membunuh diri dengan mencederakan diri selepas dipercayai
menekup muka kekasihnya dengan menggunakan bantal.- Majestic
