‘Picnic In The Air 2025’ jadi tarikan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai Disember ini

JOHOR BAHRU, 20 Nov – Bayangkan bentang tikar sambil menikmati juadah sedap, ditemani suasana pesawat berlepas dan mendarat. Itulah pengalaman unik yang menanti pengunjung di Picnic in the Air 2025, acara berkelah pertama seumpamanya di lapangan terbang Johor pada 27 dan 28 Disember ini.

Acara ini dianjurkan oleh Destination Odyssey Travel Solutions (DOTS Event) dengan kerjasama Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Tourism Johor, Pejabat Daerah Kulai dan Majlis Perbandaran Kulai. Ia juga menjadi sebahagian pengisian Temasya Johor @ Kulai 2025, sebagai pemanas suasana ke arah Tahun Melawat Johor 2026.

Kawasan padang khas di lapangan terbang akan ditukar menjadi lokasi berkelah terbuka untuk keluarga, rakan, penggemar makanan dan pelancong menikmati hujung minggu dengan suasana yang luar biasa dengan berkelah di lapangan terbang.

Ketua Pegawai Eksekutif DOTS Event, Olivia Ooi, berkata acara ini lebih daripada sekadar festival makanan.

“Kita ingin mengunpulkan masyarakat melalui makanan, kreativiti dan pengalaman berkongsi cerita dikawasan padang lapangan terbang yang memberi suasana luar biasa,” katanya.

Hari pertama bertemakan ‘All About Cake’, menampilkan pertandingan membuat kek dalam beberapa kategori seperti Kek Klasik, Moden dan Istimewa. Ada juga sesi Cake Lovers – sesi makan dan merasa kek “makan sepuasnya” selama dua jam.

Hari kedua pula menampilkan ‘Kenduri Mangkuk Tingkat’, iaitu satu acara khas yang meraikan tradisi dan nostalgia makanan keluarga. Lebih 30 juadah Johor akan disajikan termasuk Laksa Johor, Mee Bandung Muar, Mee Rebus Johor, Nasi Ambeng, Briyani Gam dan pelbagai kuih tradisional seperti Kuih Dangai, Kuih Siput dan Kole Kacang – semuanya disajikan dalam set mangkuk tingkat.

Pengunjung juga boleh melawat Pameran Mangkuk Tingkat Interaktif, yang menampilkan kisah keluarga, tukang masak tempatan, dan gaya moden mangkuk tingkat yang membawa gabungan nostalgia dan kreativiti.

Pegawai Daerah Kulai, Tuan Haji Fizwan Dato’ Haji Mohd Rashidi, berkata acara ini menjadi pembuka tirai kepada kemeriahan Tahun Melawat Johor.

“Kami mahu lebih ramai pelancong datang dan merasai sendiri keunikan budaya, makanan dan layanan Johor. Kulai adalah pintu masuk yang tepat untuk pengalaman itu,” katanya.

Pengarah Tourism Johor, Muhammad Nazrul Abd Rahim, pula percaya kerjasama pelbagai pihak akan membantu menggalakkan ekonomi setempat dan memberi impak positif kepada komuniti pelancongan.

“Kami ajak orang ramai datang dengan keluarga dan kawan-kawan, bawa tikar dan nikmati suasana santai di Senai,” katanya.

More From Author

Pemandu maut, lori masuk gaung, terbakar

Hospital Pakar KPJ sedia bantu hospital kerajaan hadapi bencana alam