KOTA TINGGI: Seorang nenek tiri didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bayi perempuan berusia 16 bulan, bulan lalu.
Tertuduh, Nurul Farhana Laily Shah, 39, mengaku faham selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Hafizah Abdul Rajak.
Namun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Nurul Farhana didakwa membunuh Nur Anggun Dahlia Abdullah antara jam 12.30 tengah hari pada 30 Julai hingga 9.30 pagi, 31 Julai lalu di rumah nombor 26, Jalan SS 6/13, Taman Sri Saujana, di sini.
Suri rumah itu didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah dihukum sebat tidak kurang daripada 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiqah Musa, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Lydiana Mansor dan Farah Yasmin.
Mahkamah menetapkan 11 Disember ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan laporan kimia, laporan bedah siasat dan laporan DNA. – MAJESTIC
