Pasukan khas siasat Johor jadi tempat buangan sisa dari Singapura

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri ini menubuhkan sebuah pasukan khas untuk menyiasat kegiatan pembuangan sisa buangan binaan dari Singapura ke beberapa lokasi di Pontian.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, pasukan itu ditubuh secara bersepadu melibatkan pelbagai pihak bagi membolehkan siasatan menyeluruh tentang dakwaan tersebut.

“Pasukan ini akan melibatkan agensi antaranya pihak berkuasa tempatan (PBT), polis, pejabat daerah dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

“Langkah ini penting bagi memastikan segala dakwaan berkaitan aktiviti berkenaan dapat dikenal pasti dan disiasat secara menyeluruh, termasuk sekiranya kegiatan tersebut masih berlaku.

“Difahamkan operasi menambak sisa buangan bangunan dari Singapura sudah dihentikan, namun perkara ini tidak boleh berhenti di situ sahaja,” katanya selepas melakukan tinjauan di sebuah premis kitar semula barang lusuh di Kampung Maju Jaya, Jalan Kempas Lama-Seelong, Kempas di sini hari ini.

Pihaknya menerima laporan berhubung kegiatan tersebut termasuk di Sungai Karang, Pontian dan beberapa kawasan lain namun masih dalam siasatan.

Mohd Jafni berkata, sekiranya siasatan mendapati kegiatan berkenaan masih berlaku, pasukan penguat kuasa secara bersepadu akan digerakkan bagi mengenal pasti semua permasalahan yang timbul.

“Kita akan tubuhkan pasukan penguat kuasa secara bersepadu melibatkan PBT, polis, pejabat daerah, SWCorp dan agensi berkaitan supaya kita dapat mengenal pasti semua masalah yang timbul.

“Ini penting supaya tindakan yang sewajarnya dapat diambil berdasarkan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau pada masa sama memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak menjalankan kerja-kerja yang melanggar undang-undang berkaitan pengurusan dan pelupusan sisa.

Katanya, sisa yang dibawa dari Singapura untuk dibuang di Johor tanpa permit atau kelulusan sewajarnya tidak sepatutnya berlaku kerana boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat.

“Kepada mereka yang melakukan kerja-kerja melanggar undang-undang, kita akan ambil tindakan.

“Sisa yang dibawa dari Singapura dan dibuang di Johor ini, kalau tidak mempunyai permit atau kelulusan sepatutnya, kita perlu ambil tindakan supaya perkara ini tidak menjadi kerisauan Bangsa Johor dan rakyat keseluruhannya,” katanya. – MAJESTIC

More From Author

‘Ibu kutu’ dijangka didakwa esok

Nenek tiri didakwa bunuh bayi 16 bulan