Pemandu maut, lori masuk gaung, terbakar

KOTA TINGGI: Pemandu maut apabila lori dipandunya terjunam ke dalam gaung laku terbakar di Kilometer 26, Jalan Lok Heng-Mawai di sini hari ini.

Akibatnya, R. Sasitharan, 38, maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai insiden berkenaan pada pukul 4.35 petang.

“Kemalangan tersebut melibatkan sebuah lori jenis Volvo yang dipercayai terbabas sendiri sebelum terjunam ke dalam gaung dan terbakar.

“Mangsa yang memandu lori berkenaan mengalami kecederaan parah akibat kebakaran melibatkan keseluruhan badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk proses siasatan lanjut.

Beliau memberitahu, pihak polis mengesahkan bahawa tiada kenderaan lain yang terlibat dalam nahas tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan.

Pesalah juga boleh hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tidak kurang lima tahun, katanya.

Yusof turut mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi undang-undang dan peka terhadap keadaan jalan, terutama di kawasan berselekoh atau berbukit.

Beliau menegaskan bahawa sikap berwaspada amat penting bagi mengelakkan tragedi yang boleh meragut nyawa.

“Kami menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengutamakan keselamatan ketika memandu,” katanya.- Majestic

More From Author

84 pekerja asing guna kad pengenalan palsu, milik orang lain

‘Picnic In The Air 2025’ jadi tarikan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai Disember ini