Foto: Arkib
JOHOR BAHRU: Seorang pereka grafik dijel 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua pertuduhan membuat hantaran palsu, jelik dan melampau dalam media sosial, Mac lalu.
Hakim, N Kanageswari membuat keputusan tersebut selepas Nurul Huda Mohd. Bajuri, 49, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Berdasarkan pertuduhan pilihan pertama, tertuduh yang juga pemilik akaun Ratu Nur Putri Ratu Balqis memuat naik hantaran dengan pengataan ‘saya adalah insan yang merupakan guru kepada ketua negara Malaysia ke-17, iaitu Sultan Ibrahim Ismail Ibni Sultan Mahmud Iskandar, termasuk para sultan di Malaysia’ dalam aplikasi TikTok.
Tertuduh yang juga ibu tunggal itu secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu itu dengan niat untuk mendatangkan gangguan kepada mana-mana orang dan termasuk pengadu yang telah membaca hantaran itu kira-kira pukul 4 petang, 27 Mac lalu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut memuat naik pengataan “tetapi sultan di Malaysia dan di Brunei, mereka itu tetap sial, celaka lagi durjana. Wahai umat Islam, Allah memberikan nama Syurga Darussalam yang terletak di langit ketujuh. Allah mengharamkan penggunaan nama istimewa Darussalam di mana-mana negara, negeri, juga daerah di bumi neraka” dalam akaun Instagram Ratu Nur Putri Ratu Balqis.
Wanita itu secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik melampau sifatnya dengan niat untuk mendatangkan gangguan kepada mana-mana orang dan dibaca pengadu yang sama pada masa dan hari yang sama.
Bagi perbuatan tersebut, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 233(2) akta yang sama.
Tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.
Sebelum dijatuhkan hukuman, tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mu’adz Zulkarnain memohon jaminan yang minima terhadap anak guamnya yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
Katanya, Nurul Huda yang merupakan seorang ibu tunggal dan mempunyai tanggungan seorang anak menunjukkan keinsafan apabila bersetuju untuk menukar pengakuan sebelum ini.
“Sebelum ini, tertuduh yang tidak mengaku bersalah telah dibenarkan diikat jamin namun disebabkan tidak mampu membayar jaminan, dia ditahan di penjara.
“Jadi, saya memohon kepada mahkamah supaya tertuduh hanya dikenakan hukuman pemenjaraan yang munasabah sahaja dan tidak dikenakan denda agar dapat mendidik tertuduh yang bukanlah penjenayah tegar,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd Nizam berkata, sebagai pemberatan memohon satu bentuk hukuman yang setimpal diatas perbuatan menghina institusi diraja dengan memuat naik hantaran jelik menghina Sultan yang berniat mencetus provokasi.
Katanya, hukuman itu perlu setimpal dengan mengambil kira elemen pencegahan dan pengajaran kepada masyarakat supaya tidak mengambil ringan dalam membuat hantaran di media sosial.
Mahkamah kemudian mengenakan hukuman penjara 10 bulan terhadap tertuduh bagi setiap pertuduhan yang berjalan serentak dari tarikh tangkapan pada 31 Mac lalu.
Mengikut fakta kes, seorang pengadu mengesan dua hantaran yang dilakukan Ratu Nur Putri Ratu Balqis di TikTok dan Instagram yang merupakan hantaran palsu dan jelik melampau.
Susulan laporan polis yang dibuat pengadu, polis l melakukan serbuan pada pukul 12.10 tengah malam di Pangsapuri Bukit Saujana, Jalan Panglima, Yahya Awal, di sini dan menahan wanita itu dan merampas sebuah telefon bimbit beserta sekeping kad sim, 31 Mac lalu.
Hasil semakan terhadap telefon bimbit tersebut juga menjumpai beberapa video dalam album gambar dalam telefon bimbit yang sepadan dengan video yang dimuatnaik ke dalam laman sosial TikTok dan Instagram.- MAJESTIC
