Hospital Pakar KPJ sedia bantu hospital kerajaan hadapi bencana alam

BATU PAHAT: Susulan kejadian gegaran kecil yang berlaku di Batu Pahat dan Segamat baru-baru ini, Hospital Pakar KPJ Batu Pahat menyatakan kesediaan pihaknya untuk membantu hospital kerajaan menghadapi sebarang kejadian bencana alam di daerah ini serta daerah berhampiran.

Kesediaan itu dinyatakan pihaknya selepas latihan kesiapsiagaan “Code Yellow Drill” melibatkan kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan iaitu Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dan Institut Pendidikan Guru (Kampus Tun Hussein Onn) termasuk City Ambulance.

Ketua Pegawai Eksekutif, Hospital Pakar KPJ Batu Pahat, Ahmad Adli Kamaruzaman berkata, dengan adanya latihan seperti ini, ia bukan sahaja mampu meningkatkan persediaan kakitangan hospital itu untuk menangani sebarang kejadian tidak diingini seperti bencana alam.

Katanya, ia juga secara tidak langsung meningkatkan kesefahaman antara agensi penyelamat dengan pihak hospital agar tindakan dapat dilakukan dengan baik dalam misi menyelamatkan mangsa yang berhadapan kejadian bencana alam seperti tanah runtuh atau gempa bumi.

“Umum mengetahui, kita dikejutkan dengan beberapa siri gegaran lemah di Segamat dan Batu Pahat baru-baru ini dan latihan ini diadakan sebagai langkah kesiapsiagaan kami untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Hasil daripada latihan ini, kita bukan sahaja sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan malah turut dapat mengenal pasti kelemahan-kelemahan yang berlaku dan dapat diatasi pada masa akan datang,”katanya kepada pemberita hari ini.

Ahmad Adli berkata demikian selepas menyaksikan simulasi latihan melalui “code yellow drill” yang diadakan di Hospital Pakar KPJ Batu Pahat di sini hari ini.

Menurutnya lagi, walaupun kemungkinan untuk berlaku bencana alam di daerah ini adalah kecil namun latihan-latihan seperti ini perlu diadakan bagi memberikan gambaran kepada semua kakitangan hospital didalam melaksanakan tindakan berkesan ketika memberikan rawatan.

“Latihan seperti ini akan sentiasa dilakukan dengan kerjasama daripada pelbagai pihak sebagai memberikan kesiapsiagaan kepada semua bertugas agar mereka lebih bersedia apabila berada di lapangan dengan kejadian sebenar,”katanya. – Majestic

More From Author

‘Picnic In The Air 2025’ jadi tarikan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai Disember ini

Laskar Kanan didakwa minta, terima rasuah RM4,300