KUANTAN: “Sepanjang perjalanan pada hari ketiga, arwah Mus beberapa kali menyatakan dia dalam ketakutan, bagaimanapun tidak dinyatakan apa yang dia ditakutkan.”
Malim Gunung Perhutanan (MGP), Rahimi Md Arifin, 50 yang mengiringi Mustaqqeem Mansoor, 34 dari hari pertama hingga hari ketiga pendakian Gunung Liang mengakui Allahyarham ceria sepanjang perjalanan pada awalnya.
“Walaupun mengalami kejang otot, Mus masih boleh berjalan perlahan dan keadaan itu menyebabkan kami jauh ketinggalan dengan kumpulan pertama dan kedua.
“Arwah yang penat dan lemah berkelakuan pelik apabila asyik memerhatikan sekeliling ketika berjalan, tapi bila saya tanya, dia cuma kata tengok akar pokok bagi mengelak kaki tersangkut,” katanya di sini, hari ini.
Sebelum ini, dilaporkan Mustaqqeem, bersama 10 lagi pendaki memulakan pendakian pada 10 Oktober di Bukit Fraser dan dijadualkan menamatkan ekspedisi mereka di Gunung Liang.
Allahyarham kali terakhir dilihat berada di puncak Gunung Liang Barat bersama seorang lagi individu pada jam 10.30 malam, 14 Oktober.
Beliau dilaporkan mengalami kecederaan di kaki dan dilihat berjalan dengan perlahan sebelum dilaporkan hilang.
Bedah siasat mayat Allahyarham mendapati beliau meninggal dunia akibat hipotermia.
Rahimi berkata, ekspedisi Trans Temangkok Gunung Liang dilakukan secara ‘compress’ mengambil masa hanya tiga hari yang kebiasaan mengambil masa antara empat hingga lima hari.
Katanya, keadaan itu mungkin menjadi faktor arwah Mustaqqeem tertekan dan kepenatan kerana perlu mengejar waktu.
“Saya bersama arwah di puncak Gunung Liang pada hari ketiga, selepas makan dan minum kami memutuskan untuk turun kira-kira jam 10.30 malam.
“Keadaan arwah ketika itu agak lemah tapi masih mampu berjalan dengan perlahan,” katanya.
Bercerita lanjut, dia mengakui turun terlebih dulu bagi meninjau laluan sambil menunggu arwah di laluan.
Katanya, walaupun gelap, dia dapat melihat dengan jelas lampu yang digunakan arwah bergerak menuruni puncak Gunung Liang yang ketika itu hujan lebat dan cuaca sejuk.
“Saya bergerak perlahan sambil menunggu arwah dan yakin arwah dapat berjalan turun tanpa sebarang masalah.
“Pada masa sama, saya berusaha mencari kawasan yang mungkin dapat liputan talian telefon untuk menghubungi seorang lagi MGP dan penganjur.
“Sebagai ‘sweeper’ saya tidak berniat untuk berpisah dan membiarkan arwah berjalan sendirian dalam gelap, saya menunggu dia di beberapa lokasi sepanjang laluan termasuk di Kem 7E, malah sempat tidur beberapa jam dengan harapan arwah turun dengan selamat.
“Saya tidak menolak kemungkinan arwah naik semula ke puncak Gunung Liang selepas beberapa meter turun…saya tidak lagi mampu berpatah balik kerana terlalu penat dan cedera di jari kaki hingga terpaksa menggunakan selipar.
“Saya tidak menyangka perkara buruk boleh berlaku, kegembiraan berjaya menawan puncak Gunung Liang bertukar tragedi hitam hanya selepas dua tahun sebagai MGP,
,” katanya yang ada pengalaman 10 tahun dalam aktiviti pendakian. – BH
