TOKYO: Perdana Menteri Jepun yang baharu, Sanae Takaichi hanya menamakan dua wanita dalam barisan Kabinet yang dianggotai 19 menteri, meskipun sebelum ini berjanji untuk mencapai tahap perwakilan setaraf negara ‘Nordik’ – mengutamakan kesamarataan gender dalam pentadbirannya, lapor Channel News Asia (CNA).
Setiausaha Kabinet baharu, Minoru Kihara, berkata, dua tokoh wanita itu ialah Satsuki Katayama yang dilantik sebagai Menteri Kewangan menjadi wanita pertama Jepun dilantik ke jawatan itu dan Kimi Onoda sebagai Menteri Keselamatan Ekonomi.
Takaichi yang mengagumi bekas Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher hari ini diumumkan sebagai Perdana Menteri wanita pertama Jepun.
September lalu, beliau menyatakan imbangan jantina dalam Kabinet serta jawatankuasa eksekutif partinya ‘akan setaraf dengan negara-negara Nordik’ yang terkenal dengan tahap penyertaan wanita dalam kadar yang tinggi dalam pentadbiran dan politik.
Dalam politik dan sektor pentadbiran di Jepun, wanita jarang mendapat tempat.
Negara matahari terbit itu menduduki tempat ke-118 daripada 148 dalam Laporan Jurang Gender 2025 oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF).
Negara-negara Nordik iaitu Iceland, Finland dan Norway menduduki tiga tempat teratas dalam laporan terbabit.
Kabinet Jepun sebelum ini dalam pentadbiran Perdana Menteri Shigeru Ishiba,Kabinetnya juga dianggotai dua wanita.
Rekod tertinggi penyertaan wanita dalam Kabinet Jepun ialah lima orang, kali terakhir dicapai di bawah pentadbiran Fumio Kishida.
Takaichi hari ini turut menamakan Toshimitsu Motegi sebagai Menteri Luar yang mana sebelum ini memainkan peranan utama dalam rundingan perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Donald Trump.
Sementara itu, Shinjiro Koizumi, pesaing utama Takaichi dalam pemilihan kepimpinan Parti Demokratik Liberal (LDP), dilantik sebagai Menteri Pertahanan. – AGENSI
