AS gesa Israel bantu rakyat Palestin jika mahu bekerjasama dengan dunia Arab

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menggesa Israel membantu rakyat Palestin hidup maju jika rejim Zionis mahu mencapai integrasi serantau bersama negara Arab, selepas tamatnya perang di Gaza.

Perkara itu ditegaskan Utusan AS ke Asia Barat, Jared Kushner yang juga menantu kepada Presiden Donald Trump.

“Pesanan paling penting yang kita cuba sampaikan kepada kepimpinan Israel sekarang adalah, telah perang berakhir, jika anda mahu mengintegrasikan Israel dengan dunia Arab yang lebih luas, anda perlu mencari jalan untuk membantu rakyat Palestin maju dan hidup lebih baik,” katanya dalam satu wawancara dengan CBS News yang disiarkan semalam.

Wawancara itu disiarkan sebelum Israel melancarkan serangan baharu ke atas Semenanjung Gaza, selepas mendakwa kumpulan Hamas kononnya melanggar gencatan senjata dengan bertindak menyerang tentera mereka.

Kushner sebelum ini antara sosok yang memainkan peranan penting dalam mempelopori perjanjian bersejarah pada penggal pertama pentadbiran Trump yang menyaksikan beberapa kerajaan Arab menormalisasi hubungan diplomatik mereka dengan Israel.

Dalam wawancara bersama CBS News, beliau akui keadaan masih begitu sukar di Gaza, namun berharap dapat mencari peluang keselamatan dan ekonomi bersama bagi memastikan rakyat Israel serta Palestin dapat hidup berdampingan secara aman dan berkekalan.

Hari ini, Kushner kembali ke Israel bersama wakil khas Amerika Syarikat (AS), Steve Witkoff, untuk satu pertemuan dengan pegawai kanan kerajaan rejim Zionis.

Mengulas situasi di Gaza sejak gencatan senjata pada 10 Oktober lalu, Kushner berkata Hamas dijangka melakukan apa saja bagi membina semula kekuatan dan menguasai semula kedudukan mereka.

Jika rancangan memajukan rakyat Palestin berjaya, beliau berkata Hamas akan gagal dan Gaza tidak lagi akan menjadi ancaman kepada Israel pada masa hadapan.

Ditanya kemungkinan penubuhan sebuah negara Palestin yang kini diiktiraf banyak negara tetapi tidak Israel dan AS, beliau menyifatkan masih terlalu awal untuk memastikan perkara itu. – AFP

More From Author

JDT perlu tekan butang panik

‘Sebagai ‘sweeper’, saya tak berniat biarkan Mus jalan sendiri dalam gelap’