JDT perlu tekan butang panik

KUALA LUMPUR: Wakil tunggal negara di Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), Johor Darul Ta’zim (JDT) tampak masih bergelut apabila masih tercari-cari kemenangan pertama musim ini.

Memasuki perlawanan ketiga berdepan wakil China, Chengdu Rongcheng di Stadium Kompleks Sukan Wuliangye, esok, skuad Xisco Munoz sekadar meraih satu mata daripada dua perlawanan diharungi setakat ini.

Mereka tumbang 1-2 di tangan Buriram United pada aksi pertama sebelum terikat tanpa jaringan dengan pasukan Liga Jepun, Machida Zelvia di laman sendiri.

Pada ACLE musim lalu, skuad Harimau Selatan meraih empat mata daripada dua perlawanan pertama namun musim ini berbeza selepas mereka masih tercari-cari rentak pada kempen kali ini.

Bagaimanapun, pertembungan di Chengdu itu memberikan senario yang kurang enak buat JDT khususnya selepas mereka sentiasa berdepan kesukaran setiap kali berkunjung ke arena lawan di kempen ACLE.

Berdasarkan rekod empat perlawanan di tempat lawan bagi ACLE musim lalu, mereka hanya meraih satu kemenangan – aksi cemerlang di laman sendiri membantu mereka menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga ketiga.

Mereka terikat 2-2 menentang Shanghai Port sebelum tewas 1-3 di tangan Gwangju FC dan 0-1 di tangan Shandong Taishan namun keputusan perlawanan itu dibatalkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selepas mereka menarik diri daripada meneruskan saingan.

Satu-satunya kemenangan sulung mereka di tempat lawan pada musim lalu adalah menentang Central Coast Mariners yang berakhir dengan keputusan 2-1.

Justeru, mereka perlu bangkit untuk memperaga aksi lebih kemas di tempat lawan apatah lagi mereka kini berada di tangga ke-10 dalam kedudukan Zon Timur.

Rekod tujuh kemenangan berturut-turut JDT dalam kancah domestik pasti menjadi sandaran dalam mereka memburu kemenangan pertama di ACLE musim ini.

Sebagai rekod, hanya lapan pasukan terbaik di peringkat kumpulan akan meneruskan kemaraan ke pusingan kalah mati. – BH

More From Author

Ramalan Superkomputer selepas United ‘ajar’ Liverpool

AS gesa Israel bantu rakyat Palestin jika mahu bekerjasama dengan dunia Arab