LPG: 5 warga Indonesia dijel 15 bulan

JOHOR BAHRU: Lima warga Indonesia yang bekerja sebagai pekerja stor dipenjara 15 bulan oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki 13,745.8 kilogram (kg) gas petroleum cecair (LPG) tanpa lesen, dua bulan lalu. 

Hakim Thalha Bachok @ Embok Mok membuat keputusan itu selepas semua tertuduh, Muhammad Ali, 32; Marhaban, 31; Adnan, 28; Nasrullah, 34; dan Zulfan Fauzi, 31; mengaku bersalah selepas pertuduhan pindaan dibacakan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kelima-lima lelaki itu didakwa memiliki LPG sebanyak 13,745.8 kg dalam keadaan menimbulkan syak melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu mengilang LPG tanpa lesen di Jalan Sungai Tiram, Ulu Tiram pada pukul  7.05 malam, 28 Julai lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), S. Loganathan manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Dalam rayuan, semua tertuduh memohon hukuman ringan dikenakan setelah masing-masing mempunyai tanggungan dan mereka hanya mencari rezeki di negara ini, ada di antara mereka yang baharu sahaja bekerja. – Majestic

More From Author

Skuad Nafuzi tewas 0-1

Wanita maut digilis treler, suami dan anak cedera