Wanita maut digilis treler, suami dan anak cedera

SHAH ALAM: Seorang wanita maut, manakala suami dan anaknya selamat selepas terbabit dalam nahas jalan raya di Jalan Pelabuhan Barat arah Pulau Indah menghala ke Klang, dekat sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa, berkata kejadian jam 1.02 tengah hari itu membabitkan sebuah motosikal dan sebuah treler.

“Siasatan awal mendapati, nahas berlaku apabila motosikal jenis SM Sport 110R ditunggangi seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun bersama isteri dan anak perempuannya berusia 10 tahun menyelit dengan beberapa kenderaan berat yang lain.

“Tindakan itu menyebabkan motosikalnya bergesel dengan sebuah treler lalu terjatuh di tengah jalan. Akibatnya, sebuah treler yang berada di hadapannya tidak sempat mengelak lalu menggilis isteri mangsa yang juga pembonceng motosikal.

“Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat. Lelaki itu dan anaknya hanya cedera ringan dan dirawat di hospital sama. Pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Ramli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular di media sosial kejadian berkenaan yang dipercayai daripada rakaman papan pemuka (dashcam) kenderaan belakang yang memaparkan situasi kemalangan itu.

Kelihatan penunggang motosikal mengalihkan mayat isteri dan mengangkat anaknya yang tertindih motosikal dalam keadaan kekalutan. – BH

More From Author

LPG: 5 warga Indonesia dijel 15 bulan

Zara Qairina kritikal ketika dibawa ke HQE pada 16 Julai – Dr Jessie