SEGAMAT: Pasangan pemilik kedai emas maut apabila Ford Mustang yang dinaiki mereka terbabas lalu melanggar tiang elektri di Kilometer 13, Jalan Segamat-Kuantan berhampiran Felda Pemanis di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 2 petang itu, Mohd. Izuddin Harmaini, 51, dan isterinya, Nur Syamimi Rosli, 36, yang merupakan pemilik kedai emas, Mimiey D’Jewels dari Pekan, Pahang. disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, semasa kejadian, kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju ke Segamat.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, kereta dipandu Mohd. Izuddin dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan.
“Kenderaan mangsa kemudian melanggar dua tiang elektrik. Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini.
Mayat mereka dihantar ke Hospital Segamat untuk bedah siasatan.
Sememtara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, Pegawai Bomba Kanan I Abd. Rahim Taufik berkata, pihaknya menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit.
“Kita mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan mayat kedua-dua mangsa. Mayat pasangan suami isteri itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
