DAP mungkin keluar kerajaan jika BN menang PRN N.9

KUALA LUMPUR, 14 Jul – Bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming berpandangan DAP bakal berdepan tekanan politik yang semakin besar untuk menarik diri daripada Kerajaan Madani sekiranya Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan Negeri Sembilan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1 Ogos ini.

Ong berkata kemenangan BN bukan sahaja akan memberi tekanan kepada DAP, malah boleh dijadikan hujah oleh beberapa parti lain bahawa kerajaan Persekutuan tidak lagi stabil tanpa penyertaan DAP.

“Ia juga akan memberi alasan bukan sahaja kepada BN, malah mungkin juga kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk berhujah.

“Dengan ketiadaan lima menteri dan tujuh timbalan menteri daripada DAP, kerajaan tidak lagi stabil, sekali gus mencadangkan supaya Perdana Menteri membubarkan Parlimen,” katanya dalam Episod 205 audio siar Keluar Sekejap.

Mengulas lanjut, Ong berkata DAP mungkin terpaksa mempertimbangkan untuk melepaskan semua jawatan dalam Kerajaan Madani sekiranya PH tewas pada PRN Negeri Sembilan.

“Jika mereka meletakkan jawatan, mereka mungkin berpeluang mendapatkan semula kedudukan moral yang lebih kukuh dan berkempen secara bebas,” ujarnya.

Terdahulu, DAP menyaksikan kekalahan besar pada PRN Sabah ke-17 apabila tewas di semua kerusi yang dipertandingkan serta menghadapi kemerosotan jumlah kerusi pada PRN Johor ke-16, Sabtu lalu. – KS

More From Author

UTM sasar bimbing 200 PKS

Harap DAP tangguh keluar kerajaan Melaka – PMX