Kejutan manis Daiyan Trisha

PUTRAJAYA: Jelas terpancar reaksi terkejut pada wajah pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha tatkala dirinya diumum mengungguli anugerah utama, Ultimate Award pada Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2025 yang disiarkan TV3 dan distrim Tonton dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, kelmarin.

Masakan tidak, ini kali pertama Daiyan ‘diangkat’ sebagai pemenang anugerah berasaskan undian peminat, selepas lebih sedekad bergelar anak seni.

Daiyan atau nama sebenar, Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin, 32, sangat menghargai pengiktirafan yang terhasil daripada kerja keras peminat.

“Ini kali pertama saya menang dua trofi dalam satu acara anugerah. Tadi (ketika nama diumum) saya terkejut dan sekarang pun masih terkejut. Betulkah apa yang terjadi ini?

“Saya memang tidak sangka, sebetulnya, di luar jangkaan. Saya datang untuk menghargai usaha peminat mengundi, saya sahaja,” katanya pada sedia media sejurus diumum memenangi trofi rebutan penggiat seni pada malam gilang-gemilang, kelmarin.

Selain Ultimate Award, Daiyan membawa pulang trofi Selebriti Stailo Terhangat pada acara yang bertemankan ‘Hangat Bukan Beshe Beshe’ itu.

Ultimate Award AMT 2025 dianugerahkan kepada Daiyan yang memenuhi kriteria sebagai selebriti berpengaruh yang mencipta impak positif, mencetus momen tular serta menerima sokongan kuat daripada masyarakat sepanjang tahun ini.

Daiyan yang popular dengan lagu Penat itu membawa pulang gelaran Selebriti Stailo Terhangat, membuktikan pengaruhnya merentasi lapangan seni, fesyen dan media sosial.

Daiyan dilihat sebagai selebriti yang menjadi inspirasi atau ikon fesyen melalui penampilan bergaya, konsisten dengan identiti diri serta aktif menghadiri acara fesyen dan berkolaborasi dengan jenama. Daiyan juga berani bereksperimen dengan gaya baharu sambil kekal relevan dalam industri seni.

Justeru, Daiyan sangat berterima kasih atas pengorbanan dan usaha peminat yang mengundi saban hari, hanya untuk melihatnya meraih trofi di pentas AMT 2025.

“Setiap hari mereka undi dan kongsi apa yang dilakukan. Memang anugerah ini untuk peminat saya. Usaha mereka saya nampak, sehingga saya bawa pulang dua anugerah, buat kali pertama.

“Insya-Allah, nanti saya rancang sesuatu untuk peminat saya,” katanya.

Daiyan tidak menafikan tahun ini memberi rezeki berganda buat dirinya selepas lagu raya, Jom Raya menjadi siulan ramai.

“Alhamdulillah, saya lancarkan lagu raya dan single itu menjadi. Selepas itu, saya menang pula dua trofi AMT 2025. Saya sudah 12 tahun berkecimpung dalam industri seni, tetapi saya tidak harap apa-apa pun, saya hanya kerja.

“Tetapi, apabila dapat anugerah ini, boleh dikira sebagai bonus dan rezeki buat saya, tahun ini. Alhamdulillah, 2025 tahun yang baik buat saya,” katanya.

Dalam meraikan kejayaan, Daiyan berkongsi detik lucu apabila zip busana yang dipakai, tercabut.

“Sebenarnya banyak drama yang terjadi sebelum datang ke PICC. Zip pada ‘dress’ saya tercabut sebelum ke sini. Zip tak boleh tutup, jadi saya kena panggil pasukan kerja Rizman Ruzaini untuk jahit.

“Sekarang, kalau zip tidak boleh buka, saya kena potong busana ini. Jadi, mungkin anugerah inilah rezeki selepas saya melalui banyak perkara,” katanya yang baru pulang dari Bangkok, Thailand atas urusan kerja. – BH

More From Author

Pasangan tauke kedai emas maut, Mustang terbabas langgar tiang elektrik

Heung Min sertai LAFC dalam rekod perpindahan MLS