Kemuncak fenomena hujan meteor Perseids bermula lewat malam ini

KUALA LUMPUR: Fenomena hujan meteor Perseids dijangka mencapai kemuncaknya, lewat malam ini hingga awal pagi esok, dengan anggaran hingga 100 meteor berpotensi kelihatan di langit dalam tempoh satu jam.

Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dalam hantaran melalui Facebook, hari ini, memaklumkan fenomena berlaku setiap tahun antara Julai hingga Ogos itu boleh disaksikan dengan mata kasar tanpa memerlukan teleskop jika pemerhati berada di kawasan gelap dan bebas daripada pencemaran cahaya.

“Namun bagi pemerhati di Malaysia, kenampakan mungkin tidak begitu jelas kerana kehadiran bulan dalam fasa sukuan akhir yang boleh menyebabkan langit menjadi lebih cerah dan mengurangkan bilangan meteor kelihatan,” menurut hantaran itu.

MYSA turut berkongsi beberapa langkah untuk mencerap fenomena itu, antaranya ialah memilih lokasi terbuka yang gelap dan lapang, menyesuaikan mata dengan kegelapan selama 15 hingga 20 minit, serta tidak hanya memfokus pandangan ke arah buruj Perseus kerana meteor boleh muncul dari pelbagai arah.

Dinamakan sempena buruj Perseus, fenomena hujan meteor Perseids berlaku apabila bumi melintasi laluan orbit Komet Swift-Tuttle yang mempunyai diameter nukleus dianggarkan 26 kilometer dan mengambil masa 133 tahun untuk melengkapkan orbit mengelilingi matahari.

MYSA memaklumkan bahawa ketika komet berkenaan mengorbit menghampiri matahari, debu-debu yang terbebas disebabkan oleh proses pemejalwapan akhirnya akan berserakan dan membentuk laluan yang dipenuhi dengan sisa-sisa komet.

“Sisa tinggalan ini akhirnya akan memasuki atmosfera bumi dan terbakar serta membentuk jalur bersinar yang panjang,” kata MYSA.

Menurutnya, komet yang kali terakhir menghampiri bumi pada 1992 itu dijangka mendekati semula pada 2126. – BERNAMA

More From Author

Norman sahkan konsert KRU di Pulau Pinang batal

Cincin tunang Ronaldo-Rodriguez cecah RM21 juta