Cincin tunang Ronaldo-Rodriguez cecah RM21 juta

LONDON: Cristiano Ronaldo membeli cincin pertunangan bernilai jutaan pound buat Georgina Rodriguez, selepas mengumumkan pertunangannya semalam menerusi hantaran media sosial.

Dalam gambar itu, Georgina, 31, kelihatan memakai cincin berlian bersaiz besar sambil berpegangan tangan dengan Ronaldo, 40.

Tiada maklumat rasmi mengenai lokasi atau cara Ronaldo membeli cincin itu, namun pakar barang kemas memberikan anggaran mereka.

Pengarah urusan 77 Diamonds, Tobias Kormind menganggarkan cincin itu seberat kira-kira 37 karat dengan nilai mencecah £3.7 juta (RM21 juta).

Pakar cincin pertunangan di Lorel Diamonds, Laura Taylor menyifatkan berlian potongan bujur itu sebagai “luar biasa”, dengan anggaran antara 15 hingga 20 karat dan bernilai melebihi £1.5 juta (RM8.5 juta).

Peminat barang kemas dan pencipta kandungan media sosial, Julia Chafe pula menganggarkan beratnya sekitar 35 karat dengan nilai sehingga £2.2 juta (RM12.54 juta).

Ronaldo dan Georgina sudah tinggal bersama selama sembilan tahun, namun bintang Portugal itu sebelum ini dilihat berhati-hati untuk melamar.

Pasangan ini bertemu pada tahun 2016 ketika Georgina bekerja di butik Gucci di Sepanyol, sewaktu Ronaldo beraksi bersama Real Madrid.

Mereka mempunyai dua anak bersama – Alana, 7, dan Bella, 3 – selain membentuk keluarga bersama tiga anak Ronaldo yang lahir melalui ibu tumpang termasuk Cristiano Jr, 15, serta kembar Mateo dan Eva Maria, 8.

Ronaldo, yang belum pernah berkahwin sebelum ini, sudah memenangi semua gelaran utama bersama Manchester United, Real Madrid, dan Juventus sepanjang karier gemilangnya. – AGENSI

More From Author

Kemuncak fenomena hujan meteor Perseids bermula lewat malam ini

Rayuan AG ditolak, Titah Adendum Najib akan didengar di Mahkamah Tinggi