UALA LUMPUR: Selalunya kita pelihara haiwan kesayangan seperti kucing dan anjing, tapi apa kata cuba “bela” karang pula?
Saranan itu dibuat oleh Aquaria KLCC semasa pelancaran fasa ketiga Inisiatif Pemuliharaan Karang yang memperkenalkan Program Adopsi Karang, bertujuan memperluas taman batu karang kepada 2,000 meter persegi dan memulihara 3,000 keratan karang menjelang 2027.
Pensyarah kanan di Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Madya Dr Tan Chun Hong berkata projek pemuliharaan itu yang dimulakan pada 2018 di Pulau Bidong, Kuala Terengganu, merupakan usaha penting untuk memulihkan terumbu karang rosak.
“Kami mahu membantu proses pemulihan batu karang dengan lebih baik. Saya masih ingat semasa menyelam di Pantai Pasir Cina kira-kira 20 ke 25 tahun lalu, semasa kawasan itu diliputi karang hidup sepenuhnya dengan penyu dan anak jerung sirip hitam berenang bebas.
“Namun, sejak beberapa tahun belakangan ini, pelunturan batu karang akibat perubahan iklim telah menyebabkan liputan karang hidup merosot secara drastik dan memperlahankan proses pemulihan. Pemulihan karang ini ibarat menanam pokok di daratan,” katanya selepas majlis pelancaran itu.
Tan berkata walaupun proses pemuliharaan itu mencabar, lebih 1,000 keratan karang berjaya dipulihkan di bawah fasa satu dan dua sejak 2018.
“Pembiayaan masih menjadi cabaran terbesar. Saya bertuah kerana dapat bekerjasama dengan rakan kongsi korporat seperti Aquaria KLCC yang konsisten menyokong kami.
“Satu lagi cabaran ialah kesedaran awam. Memandangkan karang berada di bawah permukaan air dan tidak dapat dilihat dari daratan, ramai yang tidak sedar tentang apa yang sedang berlaku. Kita perlu pupuk kesedaran tentang kepentingan terumbu karang serta ancaman yang didepaninya,” kata beliau.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perikanan Datuk Azahari Othman yang turut hadir, berkata pemuliharaan karang amat penting bagi mengekalkan stok ikan negara, khususnya di Kawasan Perlindungan Marin (MPA).
“Melalui program ini, jabatan turut melibatkan banyak taman laut dan kawasan MPA untuk kerja-kerja pemulihan kerana perubahan iklim kini mempengaruhi kesihatan karang,” katanya.
Azahari berkata terumbu karang yang sihat menawarkan pelbagai manfaat, termasuk menyerap karbon dioksida, membekalkan oksigen dan menyokong biodiversiti.
“Karang merupakan habitat penting untuk pembiakan dan perlindungan ikan. Ia juga penting untuk agropelancongan kerana menarik pelancong menikmati keindahan alam semula jadi kita.
“Kita dapati pelancong amat menghargai usaha mengekalkan ekosistem karang yang sihat,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Aquaria KLCC Daryl Foong pula berkata usaha pemuliharaan karang pada masa ini bertumpu di Pulau Bidong, namun akan mengadakan perbincangan lanjut dengan UMT bagi mewujudkan program serupa di tempat-tempat lain di negara ini.
“Kami berhasrat untuk menjalankan program sama di lokasi bersesuaian. Kami akan bekerjasama dengan rakan kongsi kami bagi menjalankan penyelidikan yang diperlukan serta memastikan keadaan persekitaran adalah sesuai,” katanya.
Orang ramai boleh menyertai Program Adopsi Karang ini dengan memilih Pakej Keratan (Nubbing Package) berharga RM10 hingga RM350 atau Pakej Karang (Coral Package) dari RM350 ke atas. – BERNAMA
