‘Mencari Ramlee’ peluang gen alfa kenali seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee

GEORGE TOWN: Bakal menjengah pawagam pada 19 Jun ini, filem Mencari Ramlee bukan “filem berat”, sebaliknya sebuah kisah fiksyen yang mengangkat figura legenda seni Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebagai subjek dan inspirasi dalam penghasilan filem.

Malah, pengarah dan pelakon Megat Sharizal Mohamed Yusoff berkata jalan cerita filem arahan sulungnya itu mudah difahami dan mampu menjadi pencetus kepada generasi Alfa untuk mengenali seniman tersohor tanah air itu.

“Selalunya orang kita selesa tengok filem bergenre seram atau aksi, jangan takut nak tengok Mencari Ramlee. Filem ini boleh buat orang terhibur tetapi lebih penting mesej yang hendak disampaikan kepada generasi muda untuk kenal siapa P. Ramlee.

“Generasi Alfa hari ini ramai dah tak kenal P. Ramlee, jadi bila tengok filem ini mungkin boleh menjadi pencetus kepada mereka untuk lebih kenal dan tengok balik cerita P. Ramlee, dan pada masa sama kita kena hargai bakat seni yang datang selepas beliau,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana filem itu, di sini baru-baru ini.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap pencinta seni terutama golongan muda dan peminat filem Melayu, supaya dapat menyokong naskhah pertamanya dengan menonton di pawagam berhampiran, kerana tiga hari pertama merupakan tempoh kritikal dalam menentukan kelangsungan tayangan filem itu.

“Setiap pawangan menurut Skim Wajib Tayang memerlukan bilangan penonton sekurang-kurangnya 15 peratus daripada jumlah tempat duduk, dan kalau kurang (tayangan) boleh ditarik balik,” katanya.

Megat Sharizal turut mengakui agak gementar menanti reaksi penonton namun optimis akan mendapat kutipan memberangsangkan meskipun filem itu dihasilkan dengan perbelanjaan minimum.

Mengambil contoh kejayaan filem Imaginur dan Babah, beliau berkata kedua-dua filem itu berjaya mencatat kutipan pecah panggung biarpun sekadar menggunakan modal kecil dan berharap perkara sama akan berlaku kepada Mencari Ramlee.

Sebagai pembikin filem bebas, Megat Sharizal mengakui kekangan dana menjadi faktor utama filem itu terpaksa diperam selama dua tahun, namun beliau bersyukur kerana memperoleh Dana Kandungan Digital (DKD) sebanyak RM1 juta daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), sekali gus membantunya dalam menyiapkan karya itu hingga akhirnya mendapat tarikh tayangan.

Mencari Ramlee mengangkat kisah yang bermula sehari selepas pemergian Allahyarham P. Ramlee pada 30 Mei 1973.

Filem itu menampilkan Tony Eusoff dan Datin Sofia Jane selaku tunjang utama yang memainkan watak Zakaria dan Zaiton, sementara Megat Sharizal yang turut menyumbang dalam naskhah tersebut sebagai Yusuf, seorang mafia.

Filem berkisar tentang Zakaria, seorang peniru gaya atau impersonator P. Ramlee yang mempunyai masalah kewangan kerana populariti P. Ramlee yang sudah merosot ketika itu.

Dek kerana terdesak mahu melangsaikan hutangnya dengan Yusuf, Zakaria bersetuju menjadi ‘P. Ramlee’ bagi membahagiakan Zaiton (kakak Yusuf) yang menghidap amnesia dan terlalu meminati seniman agung tersebut sehingga menyangka Zakaria ialah P. Ramlee.

Selain Tony dan Sofia Jane, filem terbitan Playground Film Sdn Bhd itu turut dibintangi oleh Mimi Lana selaku Yasmin, Han Zalini sebagai Salleh dan Abi Madyan (Joned) serta penampilan khas pelakon seperti Azhan Rani, Beto Kusyairy, Amerul Affendi, Bront Palarae, Sharifah Amani, Vanidah Imran serta cucu P. Ramlee, Najua. – BERNAMA

More From Author

Program Adopsi Karang: Aquaria KLCC sasar pulihara 3,000 karang menjelang 2027

Safiq, Farizal ucap selamat tinggal kepada JDT