Bunyi letupan di Ipoh tiada kaitan dengan latihan di PGA – Polis

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan tiada latihan melibatkan letupan di Briged Utara Pasukan Gerak Am (PGA) Ulu Kinta hari ini, susulan kejadian bunyi letupan di sekitar Chemor dan Chepor pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan kecederaan atau kerosakan harta benda daripada mana-mana pihak susulan insiden tersebut.

“Beberapa pasukan petugas telah digerakkan ke lokasi terlibat bagi tujuan pemantauan dan mendapatkan maklumat awal daripada orang awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, katanya siasatan menyeluruh masih diteruskan dengan kerjasama agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Terdahulu, Abang Zainal berkata, semakan Pejabat Tanah dan Galian mengesahkan tiada sebarang aktiviti letupan kuari dijalankan sebelum 12 tengah hari.

Semakan turut dibuat dengan Jabatan Meteorologi Malaysia dan didapati tiada aktiviti seismik direkodkan di sekitar daerah Ipoh.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah Ipoh di talian 05-254 2222 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – MN

More From Author

Perimau Malaysia minta kerajaan tangguh peluasan SST 

Program Adopsi Karang: Aquaria KLCC sasar pulihara 3,000 karang menjelang 2027