KUALA LUMPUR: ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’ telah dipilih sebagai tema Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM2025) manakala logo yang sama tahun sebelumnya dikekalkan hingga 2027.
Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dalam kenyataan memaklumkan, pengumuman itu dibuat hari ini sempena sidang media mingguan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk HKHM2025.
Konsep Malaysia MADANI diilhamkan oleh Perdana Menteri menekankan prinsip pembangunan menyeluruh dan seimbang – antara kemajuan material serta pembangunan rohani, merangkumi aspek kemajuan ekonomi, integriti pentadbiran dan perpaduan masyarakat.
Penekanan pada tema ‘Rakyat Disantuni’ pula menggambarkan keutamaan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat diberikan perhatian utama.
Sambutan bulan kebangsaan akan dimulakan dengan penganjuran Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 yang akan diadakan pada 27 Julai 2025 di Johor.
Ia kemudian diikuti dengan Acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2025 pada 31 Ogos 2025 di Putrajaya seterusnya Sambutan Hari Malaysia 2025 akan diraikan di Pulau Pinang pada 16 September 2025.
Sepanjang bulan kebangsaan, pelbagai pengisian program dan aktiviti akan diadakan bagi menggelorakan semangat cintakan negara, antaranya Quran Hour, Kira Detik Merdeka, 1Rumah 1Jalur Gemilang dan Kembara Merdeka Jalur Gemilang.
Selain pengisahan Kenegaraan @Kelab Malaysiaku, PENTARAMA Merdeka@HOHO, Wayang Pacak Merdeka, RIUH Merdeka dan pelbagai lagi.
Portal rasmi Merdeka360 (https://www.merdeka360.my/web/) yang merupakan salah satu inisiatif mempromosikan HKHM2025 telah diberikan suntikan baharu dengan penambahan menu ‘Kalendar Acara’ yang memaparkan senarai program dan aktiviti HKHM 2025 di peringkat nasional, kementerian, negeri dan daerah.
Maklumat lanjut berkenaan HKHM2025, termasuk panduan penggunaan logo rasmi juga boleh dirujuk di portal ini. – MN
