Naim Daniel mengaku tak bersalah lakukan amang seksual

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel didakwa di Mahkamah Sesyen Putrajaya hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan bawah umur, bulan lepas.

Bagaimanapun beliau seperti dilapor UtusanTV mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim M. Kunasundary.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa yang berusia 17 tahun 7 bulan, di sebuah sebuah bilik hotel di Petaling Jaya, sekitar jam 8.56 malam pada 19 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim Kunasundary membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 ogos depan untuk sebutan semula kes.

Mahkamah turut mengarahkan Naim untuk menyerahkan pasport dan tidak menganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzah Shaharudddin, manakala tertuduh diwakili dua peguam iaitu Mohd Irwan Sumadi dan Amirul Ridzuan Hanif.

Sebelum ini industri hiburan negara digemparkan dengan laporan seorang selebriti ditahan polis selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan.

Mangsa difahamkan mula berkenalan dengan selebriti terbabit di sebuah kafe yang juga tempat kerjanya dan kejadian itu berlaku ketika kali pertama pertemuan antara suspek dan remaja terbabit.

More From Author

‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’ tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025

Jurulatih bola sepak menangis dituduh ‘pegang’ dua pelatih