KPDN Perak rampas 2,000 liter diesel tanpa permit

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas 2,000 liter minyak diesel yang disimpan tanpa permit dalam satu serbuan di tapak pembinaan, semalam.

Pengarahnya Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan pada pukul 11 pagi itu dilakukan oleh sepasukan pegawai serta anggota penguat kuasa dan rampasan dianggarkan bernilai RM6,450.

“Pihak kita berjaya menemukan minyak diesel yang disimpan dalam dua kontena pukal pertengahan (IBC).

“Seorang warga tempatan berusia 29 tahun yang mengaku pengurus di tapak pembinaan itu gagal mengemukakan sebarang permit atau surat kebenaran menyimpan bekalan diesel berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, jika sabit kesalahan, individu yang terlibat boleh didenda hingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan berikutnya denda boleh meningkat hingga RM3 juta, manakala bagi syarikat, denda boleh mencecah RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan berikutnya,” katanya.

More From Author

Di sebalik tabir kilang Kiswah: Warisan seni Islam dipertonton kepada media global

Jojo sudah sedia 100 peratus menentang Paez