Jojo sudah sedia 100 peratus menentang Paez

KUALA LUMPUR: Jaguh muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar sudah bersedia untuk menentang petarung berpengalaman dari Amerika-Colombia, Diego Paez.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Jojo dijadualkan bertarung dengan Paez dalam aksi ONE Fight Night 32 di Stadium Lumpinee, Bangkok, Thailand pada Sabtu ini.

Walaupun baru berusia 18 tahun, Jojo tidak menjadikan jurang usia sebanyak 13 tahun sebagai alasan untuk tunduk kepada lawan.

Malah, beliau yakin dengan persiapan rapi yang telah dijalani sepanjang kem latihan di Bangkok.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Tiada kecederaan, tiada masalah kesihatan. Saya bersedia 100 peratus untuk memberi yang terbaik buat Malaysia,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Jojo kini mencatat enam kemenangan daripada lapan perlawanan dalam ONE Championship, termasuk lima menerusi TKO.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia mendoakan kejayaannya dalam pertarungan penting itu.

“Saya akan berjuang bukan sahaja untuk diri saya, tapi juga untuk Malaysia. Insya-Allah, saya akan buktikan Malaysia boleh!,” katanya lagi.

More From Author

KPDN Perak rampas 2,000 liter diesel tanpa permit

Pelatih PLKN 3.0 teruja guna M16