JOHOR BAHRU: Seorang pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang bertugas di kaunter MyBorderPass, Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini ditahan semalam kerana melakukan aktiviti pasport terbang atau ‘flying pasport’.
AKPS dalam satu kenyataan memaklumkan, penahanan itu dilakukan semasa pemantauan di Dewan Penumpang Masuk BSI pada pukul 11.30 pagi.
“Sepasukan pegawai dari Unit Integriti AKPS BSI melakukan pemantauan itu dan hasil pemeriksaan mendapati pegawai tersebut telah gagal mematuhi Arahan Pentadbiran Bil.01 Tahun 2024 iaitu Tatacara dan Prosedur Membawa, Menyimpan Atau Menggunakan Alat Telekomunikasi Semasa Waktu Bertugas.
“Dia mengaku membawa dan menyimpan dua unit telefon bimbit semasa bertugas serta tidak membuat
tindakan serah terima telefon bimbit di kaunter penyelia sebelum bertugas,” demikian menurut kenyataan tersebut hari ini.

Menurut AKPS BSI, pegawai terbabit dibawa ke pejabat untuk siasatan lanjut setelah tidak dapat memberi penjelasan terhadap ketidakpatuhan arahan menyimpan telefon bimbit sebelum bertugas.
Hasil siasatan menemukan lapan naskhah pasport warga asing iaitu enam pasport China, satu pasport Indonesia dan satu pasport Vietnam dalam sebuah beg berwarna hitam disimpan di ruang penyimpanan barang motosikal jenis Honda Vario milik pegawai tersebut yang diparkir dalam kawasan bangunan BSI.
Pegawai tersebut telah ditangkap dan ditahan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 (Akta 150) kerana tanpa kuasa sah ada dalam milikannya mana-mana pasport atau dokumen perjalanan dalam negeri yang dikeluarkan bagi penggunaan seseorang selain dirinya sendiri.
Tambah kenyataan itu, turut dirampas dan disita adalah sebuah motosikal, lapan naskah pasport yang ditemui dan dua unit telefon bimbit milik pegawai.
AKPS mwnegaskan pihaknya sentiasa mengingatkan pegawai-pegawai yang bertugas di mana-mana pintu masuk agar mematuhi arahan integriti jabatan.
“AKPS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang ingkar perintah serta menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang.
“Tindakan tegas seperti ini akan diteruskan sebagai sebahagian di antara komitmen AKPS dalam memperkukuhkan kawalan pintu masuk negara.”- Majestic
