JOHOR BAHRU: Polis kini memburu dua orang suruhan ceti haram atau along Singapura yang menaiki motosikal melakukan khianat dengan api di sebuah rumah di Taman Universiti, di sini awal pagi Sabtu lalu.
Pemangku Ketua Polis Johor Bahru Utara, Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut pukul 8.01 pagi oleh seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun.
“Lelaki berkenaan melaporkan lantai rumahnya terbakar. Hasil siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku pukul 4.18 pagi hari yang sama.
“Pengadu memaklumkan bahawa dia menyedari lantai luar rumah dalam keadaan terbakar dan menemui serpihan kaca serta nota yag dipercayai dilemparkan suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan khianat dengan api atau bahan letupan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu Azrol meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes jenayah untuk menghubungi dan menyalurkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara 07-5563122.
Semalam mangsa, Hoo Chong Kang, 58, membuat aduan kepada wakil khas Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Ng Siam Luang di pejabatnya di sini ekoran bimbang ancaman diterima daripada along terbabit.
Chong Kang mendakwa, perbuatan tersebut dilakukan along Singapura yang menuntut anaknya membayar pinjaman sedangkan pinjaman tersebut sudah dibatalkan tetapi tetap meminta bayaran.
Dia berkata, pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki bangsa tidak pasti berhenti di hadapan rumah sebelum melakukan perbuatan itu.
“Mereka juga menampal notis di bahagian tiang pagar yang mencatat nama anak lelaki saya dan memberi amaran supaya menjelaskan wang dengan segera,” ujar Chong Kang.
Susulan kejadian tersebut dia menghubungi anaknya yang bekerja di Lapangan Terbang Changi, Singapura untuk bertanyakan sekiranya benar pinjam wang daripada along.
Kata Chong Kang, anaknya yang berusia 30-an dan masih bujang memberitahu pernah berurusan dengan along bagi pinjaman wang namun membatalkan hasrat itu atas sebab tertentu.- Majestic
