Pasangan warga emas cemas atap rumah diterbangkan puting beliung

KLUANG: Pasangan warga emas di Taman Ilham di sini berdepan detik cemas apabila beberapa keping atap rumah mereka diterbangkan satu-persatu dalam kejadian puting beliung petang tadi.

Ahmad Zakaria, 73, dan isterinya Zaiton Aziz, 68, masih trauma dan tidak dapat melupakan kejadian tersebut yang berlaku pukul 2.45 petang.

Ketika kejadian, Ahmad dan isterinya sedang berehat di ruang tamu rumah sebelum secara tiba-tiba mendengar seperti atap rumah direntap dengan kuat sebelum diterbangkan.

Namun dia serta isteri bersyukur kerana terselamat dalam kejadian berkenaan dan selepas keadaan reda memberanikan diri melihat kerosakan yang berlaku.

“Saya bergegas memanjat siling rumah selepas kejadian reda kira-kira satu minit dan mendapati atap rumah sudah tercabut.

“Saya lihat atap rumah rosak dan memerlukan pembaikan segera berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

“Apa yang boleh dilakukan sekarang hanyalah menutup bahagian kerosakan itu sementara menunggu masa pembaikkan kerana ia memerlukan kos agak mahal untuk dilakukan,” katanya ketika ditemui.

Ahmad berkata demikian ketika menerima sumbangan kecemasan daripada Ahli Majlis Perbandaran Kluang Zon Ilham, Abdul Hamid Dahlan selepas meninjau kerosakan di rumahnya petang tadi.

Menurut Ahmad, kejadian seumpama ini berlaku awal November lalu namun tidak menyebabkan kerosakannya yang banyak dan tidak menyangka akan berulang lagi dalam tempoh tidak sampai sebulan.

Dia berharap ada pihak tampil membantu membaiki bumbung rumahnya kerana jika tidak dibetulkan dengan segera, air akan mencurah masuk setiap kali berlaku hujan.

“Keadaan itu pasti akan menyebabkan lebih banyak lagi kerosakan terutama bahagian kayu alang serta perabot apabila terkena hujan,” katanya. – Majestic

More From Author

Warga emas maut kepala terkena komponen lori tercabut

ACLE: JDT tekad benam Melbourne City