BATU PAHAT: Seorang warga emas maut apabila kepalanya cedera parah terkena komponen lori yang tercabut dan menembusi cermin kereta dinaikinya di Jalan Sri Bengkal, Parit Yaani di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian yang berlaku pukul 9.07 pagi itu mengorbankan mangsa, Juhari Murid, 63, yang tinggal di Kampung Parit Simpan, Senggarang di sini.
“Siasatan awal Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat mendapati kejadian berlaku semasa kereta yang dinaiki sedang menghala ke arah Parit Yaani untuk ke Segamat.
“Apabila sampai di tempat kejadian tiba-tiba cermin besar hadapan kereta ditembusi satu objek dipercayai merupakan komponen lori (coupling shaft) dari arah hadapan yang telah tercabut dari sebuah lori sedang bergerak dari arah berlawanan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, akibatnya mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan kereta cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Sri Gading.
Katanya, pemandu kereta iaitu seorang lelaki tempatan, 58, iaitu adik mangsa bersama-sama tiga penumpang lain iaitu dua kakak mangsa, 68 dan 65 tahun serta isteri mangsa, 58, tidak cedera.
Begitu juga katanya, pemandu lori iaitu seorang lelaki tempatan, 56 tidak mengalami sebarang kecederaan.
Siasatan katanya, dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau berbahaya.
Tambahnya, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara antara dua hingga 10 tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM20,000. – Majestic
