Lebuhraya Pasir Gudang terkeluar senarai jalan kedua teruk

ISKANDAR PUTERI: Lebuhraya Pasir Gudang kini sudah dikeluarkan daripada senarai 10 jalan paling teruk di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, lebuhraya itu yang menduduki tempat kedua paling teruk sebelum ini sudah semakin elok hasil usaha berterusan serta kerja-kerja penambahbaikan yang telah dilaksanakan.

“Dulu masa mula-mula kita ambil alih pemantauan di jalan Pasir Gudang, jalan ini merupakan jalan yang kedua yang terteruk di Malaysia dan sekarang ini sudah keluar daripada 10 jalan yang teruk di Malaysia.

“Cuma peranan yang kita akan laksanakan adalah pemantauan kenderaan berat yang lebih muatan. Jalan Pasir Gudang ini selalu digunakan oleh kenderaan berat sebab banyak industri dan sebagainya.

“Nanti masa penggulungan, saya akan ceritakan tentang perancangan kita untuk pindahkan lori-lori lebih muatan atau kargo ini kepada sistem rail dari Pasir Gudang. InsyaAllah dapat kurangkan impak kerosakan di jalan raya,” katanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke 15 di Bangunan Sultan Ismail di Kota Iskandar di sini hari ini.

Mohamad Fazli (BN-Bukit Pasir) sebelum itu menjawab soalan tambahan ADUN Permas (BN), Baharudin Mohamed Taib mengenai bilakah projek Lebuhraya Pasir Gudang akan dapat disiapkan.

Ketika menjawab soalan lisan berkenaan lampu di Lebuhraya Pasir Gudang yang sering tidak berfungsi daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sama, Mohamad Fazli berkata, Isu lampu jalan di sepanjang jalan itu bukan isu baharu dan beliau sendiri turun padang tujuh kali.

“Untuk makluman ahli-ahli dewan, Lebuhraya Pasir Gudang ini merupakan jalan persekutuan FT17 dengan panjang 30.3 kilometer. Meskipun penyelenggaraan jalan ini adalah dibawah tanggungjawab
pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), namun bagi tujuan penyelenggaraan lampu-lampu jalan ini, terdapat dua agensi iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang menguruskannya,” katanya.

Bermula dari BHP Perling sehingga ke Persimpangan Perling sepanjang 1.5 km di bawah seliaan JKR katanya, terdapat 52 tiang lampu dan setakat ini tiada kerosakan direkodkan.

“Seterusnya dari Persimpangan Perling ke Persimpangan Bandar Seri Alam/Taman Rinting sepanjang 23.5km, seliaan lampu-lampu jalan adalah di bawah pengurusan MBJB yang mana terdapat 1,308 tiang lampu dengan 167 unit lampu jalan yang rosak.

“Untuk memastikan keadaan lampu disepanjang kawasan ini berada dalam keadaan baik, MBJB telah melantik kontraktor penyelenggaran tahunan bermula tahun 2026,” katanya lagi.

Tambahnya, buat masa ini, MBJB sedang giat melaksanakan kerja-kerja pembaikkan kerosakan kabel bawah tanah dan kelengkapan bagi membaiki lampu jalan yang rosak dengan anggaran kos RM1juta.

Jelasnya kerja-kerja pembaikan ini
dijangka akan siap pada 15 Disember 2025 dan bagi mengurangkan kerosakan kelengkapan lampu jalan.

MBJB juga katanya, akan melaksanakan penyelenggaraan pencegahan dengan tindakan menggantikan lampu jalan sedia ada kepada lampu jenis LED Pintar sebanyak 1,308 unit yang di anggarkan berjumlah RM6 juta. – Majestic

More From Author

‘Mahligai cinta’ Batu Rakit kembali dibadai ombak besar

Scammer diberkas