KLUANG: Seorang ahli sindiket penipuan dalam talian diberkas dan pelbagai peralatan dianggarkan bernilai RM200,000 dirampas dalam melakukan serbuan di sebuah rumah di sini kelmarin.
Serbuan tersebut dilakukan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Kluang.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menangkap seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun dan merampas beberapa peralatan dan barangan.
“Ini melibatkan 30 buah telefon bimbit; wang tunai RM82,571; 12 keping kad touch n go e-wallet; seutas rantai emas; Lima keping gold bar dan satu mesin pengira wang. Jumlah anggaran nilai rampasan RM200,000,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek telah membuat pengeluaran wang pengeluaran hasil aktiviti penipuan melalui mesin ATM dengan menggunakan kad debit touch n go.
Jelas beliau, pihaknya masih menyiasat sudah berapa lama suspek berkenaan sudah menjalankan kegiatan tersebut termasuk saki baki ahli yang lain.
Bahrin memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 424A/420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan sebatan atau denda.
Suspek katanya, ditahan reman selama empat hari sehingga 22 November ini.
Pihaknya menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan iklan dan promosi yang ditawarkan dalam media sosial dan membuat semakan dengan agensi berkaitan seperti polis dan Bank Negara.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau terus menghubungi IPD Kluang di talian 07-7784222, 07-7766822 (hotline), 07-7784256 (direct line) dan 014-365682 (tablet DCC). – Majestic
