Klopp jadi pengulas Piala Dunia 2026

BERLIN: Jurgen Klopp mengumumkan beliau akan menjadi pengulas pada Piala Dunia 2026 selepas beberapa minggu sebelum ini ‘mengusik’ peminat mengenai kemungkinan kembali sebagai jurulatih.

Bekas pengurus Liverpool, 58, yang tidak mengurus pasukan sejak meninggalkan kelab itu pada hujung musim 2023-24, sebelum ini dikaitkan dengan beberapa jawatan pengurusan.

Klopp pernah menyatakan mungkin tidak akan mengurus lagi dan kemudian dilantik oleh Red Bull sebagai ketua bola sepak global mereka.

Namun kini, bekas jurulatih Borussia Dortmund itu mendedahkan beliau mengambil peranan baharu dalam satu video media sosial dan akan bekerjasama dengan stesen televisyen Jerman, Magenta TV bagi kejohanan tahun depan.

Dalam klip yang menarik perhatian peminat mengenai kemungkinan kembali mengurus, beliau berkata: “Ramai daripada anda tahu lebih baik.

“Tetapi saya memang tidak pernah bayangkan untuk diri sendiri. Kembali ke tepi padang? Saya tidak rindu langsung.

“Ini yang saya selalu fikir. Namun kini rasa berdebar semula. Rumput di bawah kaki saya. Suasana panas dalam stadium. Saya mahu benar-benar dekat lagi.

“Oh? Tidak, bukan sebagai pengurus. Saya menjadi pengulas untuk Magenta TV pada Piala Dunia FIFA 2026.”

Klopp dilihat sebagai salah seorang pengurus terhebat Liverpool dalam sejarah moden selepas mengemudi kelab itu menjuarai Liga Perdana Inggeris buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun dan Liga Juara-Juara pada 2019.

Beliau sebelum ini pernah dikaitkan dengan jawatan pengurus pasukan kebangsaan Jerman, tetapi sebaliknya akan menonton aksi pasukan kendalian Julian Nagelsmann ketika kejohanan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico tahun depan.

Pada September lalu, Klopp menambah spekulasi beliau tidak akan kembali mengurus selepas menegaskan gembira dengan kehidupannya di luar dunia bola sepak.

Peranan semasa beliau termasuk menguruskan seluruh rangkaian bola sepak Red Bull, termasuk tiga kelab utama mereka, Red Bull Leipzig, Salzburg dan New York Red Bulls.

Walaupun tidak lagi bersaing dengan pengurus terbaik dunia, Klopp tetap aktif.

Bulan lalu, beliau menerima peranan lain dengan Liga Bolasepak Jerman (DFL), yang membabitkan pengukuhan pembangunan belia, meningkatkan prestasi kelab dan mengekalkan persaingan Bundesliga.

Beliau akan menyertai beberapa nama besar sebagai sebahagian daripada kumpulan pakar DFL, termasuk bekas pemain tengah Dortmund, Sami Khedira. – AGENSI

More From Author

Mbappe tinggalkan skuad Perancis kerana cedera buku lali

Mahkamah Perlembagaan batal hak guna tanah 190 tahun di Nusantara