Mbappe tinggalkan skuad Perancis kerana cedera buku lali

PARIS: Kylian Mbappe terpaksa meninggalkan skuad Perancis dan pulang ke Madrid untuk menerima rawatan kecederaan buku lali, menurut Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF), semalam.

Mbappe, 26, menjaringkan dua gol ketika menang 4-0 ke atas Ukraine di Paris kelmarin, membantu Perancis mengesahkan tempat ke Piala Dunia tahun depan.

Namun dia dilaporkan mengalami keradangan berterusan pada buku lalinya, menyebabkan pengurus Perancis, Didier Deschamps bersama pasukan perubatan Real Madrid memanggilnya kembali ke kelab.

Mbappe kini mencatat 400 gol sepanjang kariernya termasuk 55 gol buat Perancis, hanya dua gol di belakang pemegang rekod penjaring gol terbanyak kebangsaan Olivier Giroud.

Menurut laporan ESPN, dia dijadualkan menjalani imbasan dan akan terlepas perlawanan Perancis menentang Azerbaijan, awal pagi Isnin ini.

Sementara itu, perlawanan seterusnya Real Madrid adalah menentang Elche pada 23 November sebelum ke Athens untuk menentang Olympiakos pada 26 November bagi aksi Liga Juara-Juara.

Selain Mbappe, Perancis turut melepaskan Eduardo Camavinga (hamstring) dan Manu Kone (penggantungan) menjelang perlawanan terakhir kelayakan Piala Dunia. – REUTERS

More From Author

PRN Sabah: DUN Tulid saksi pertembungan sengit 14 penjuru

Klopp jadi pengulas Piala Dunia 2026