JAKARTA: Masa depan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara, berdepan satu lagi tamparan selepas Mahkamah Perlembagaan membatalkan peruntukan membolehkan pemerintah melanjutkan hak guna tanah sehingga hampir 200 tahun.
Keputusan yang dikeluarkan pada 13 November itu menetapkan bahawa pemerintah kini perlu mengehadkan hak guna tanah di Nusantara kepada 95 tahun sahaja, berbanding 190 tahun seperti yang dicadangkan sebelum ini.
Tempoh itu juga akan tertakluk kepada semakan berkala, dengan hakim menyatakan bahawa aturan terdahulu melanggar prinsip Perlembagaan yang menetapkan hak tanah mesti bersifat sementara dan dinilai secara berkala.
Kes itu dibawa oleh seorang ahli masyarakat Dayak dan seorang penduduk Sepaku di Kalimantan Timur, yang berhujah bahawa klausa 190 tahun itu berisiko meminggirkan masyarakat tempatan serta melemahkan tanggungjawab negara untuk mengurus tanah bagi manfaat awam.
Keputusan itu menggugurkan salah satu insentif paling besar yang ditawarkan Indonesia untuk menarik pelabur ke projek bernilai sekitar AS$30 bilion (RM124 bilion) itu di tengah-tengah Borneo.
Ia sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai hala tuju pembangunan bandar berkenaan, projek utama bekas Presiden Joko Widodo (Jokowi), yang kini diwarisi Presiden Prabowo Subianto.
Walaupun Prabowo berikrar untuk memberi keutamaan kepada pembinaan ibu negara baharu itu, pentadbirannya kini semakin banyak menumpukan sumber kepada perbelanjaan kebajikan sosial dan Danantara, dana kekayaan negara baharu yang dijangka mengurus aset milik kerajaan sehingga AS$1 trilion (RM4.13 trilion).
Minat pelabur asing terhadap projek terbabit masih terhad dan kerja pembinaan turut berdepan kelewatan. – AGENSI
