JOHOR BAHRU: Tindakan parti politik dan menteri dari Sabah mengugut akan meletak jawatan jika rayuan dibuat terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengiktiraf hak perlembagaan Sabah berkaitan pembayaran 40 peratus hasil Sabah adalah tidak wajar dan mengganggu proses mahkamah.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, keputusan kes tersebut adalah di bawah Jabatan Peguam Negara (AGC) dan proses perundangan itu perlu dihormati semua pihak.
“Ugutan politik seperti ini tidak sehat. Ini political ransom namanya. Hal seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Mahkamah telah beri kebenaran untuk pemohon memfailkan semakan kehakiman. Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu telah buat keputusan.
“Maka berikan hak kepada AGC buat semakan ke atas alasan penghakiman hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu.
“Perjalanan proses undang-undang tidak boleh dihalang. Berilah peluang kepada AGC menjalankan tugasnya jika kita menghayati prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hassan berkata, memberi kata dua dan ugutan kepada kerajaan Persekutuan Adalah tidak wajar dan fungsi mahkamah tidak boleh diganggu atau campur tangan.
Jelasnya, perlu difahami bahawa mana-mana kes yang bermula di Mahkamah Tinggi boleh dirayu hingga ke Mahkamah Rayuan dan seterusnya ke Mahkamah Persekutuan.
“Jika alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu kuat daripada segi fakta dan undang-undang tentu sahaja. Mahkamah Rayuan akan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu.
“Begitulah juga jika kes itu dirayu sehingga ke Mahkamah Persekutuan. Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu oleh seorang Hakim perlu melalui ujian dan semakan oleh hakim-hakim yang lebih kanan di Mahkamah Rayuan Malaysia dan seterusnya di Mahkamah Persekutuan.
“Lagi pun ini isu undang-undang perlembagaan yang melibatkan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan. Tempat untuk diputuskan secara muktamad isu-isu keperlembagaan terletak di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya bukannya di Mahkamah Tinggi Borneo di Kota Kinabalu,” tegasnya.
Menurutnya, Malaysia sebuah negara Persekutuan akan pecah jika politik ugutan digunakan untuk melemahkan kerajaan persekutuan.
Justeru katanya, biarkan proses undang-undang berjalan sepenuhnya secara tertib dari Mahkamah Tinggi hingga ke Mahkamah Persekutuan. – Majestic
