Maut langgar MPV sebelum dirempuh tiga motosikal

KLUANG: Seorang lelaki maut selepas terlibat kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 50.2 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kemalangan melibatkan tiga motosikal dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) pada pukul 12.30 tengah malam.

“Siasatan mendapati kemalangan berlaku semasa kenderaan MPV jenis Honda Odyssey yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun dalam perjalanan dari Batu Pahat menghala ke Johor Bahru.

“Semasa sampai di tempat kejadian motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggang seorang lelaki tempatan, Muhammad Syukri Sardon yang berusia 24 tahun dalam perjalanan dari arah yang sama hilang kawalan.

“Motosikal itu kemudian melanggar bahagian belakang MPV tersebut lalu jatuh di lorong kanan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, penunggang terbabit kemudian dilanggar tiga motosikal yang berada di lorong kanan laluan yang sama kerana tidak sempat mengelak.

Menurutnya, penunggang Yamaha 135LC mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang penunggang motosikal Honda EX5 katanya, iaitu lelaki tempatan berusia 21 tahun mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.

“Dua lagi penunggang motosikal Yamaha 135LC iaitu lelaki tempatan berusia 22 dan 29 tahun mengalami cedera ringan di bahagian badan. Pemandu MPV pula tidak cedera,” katanya.

Beliau memberitahu, semua mangsa dikejarkan ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di Kulai dengan menggunakan ambulan.

Bahrin berkata, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tersebut untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Saksi juga boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang hotline 07-7784222, direct line 07-7766822; tablet DCC 07-7784256 atau 014-365682. – Majestic

More From Author

Ugutan letak jawatan tak wajar, ganggu proses mahkamah – Hassan

KPM akan umum beberapa langkah tambahan perkukuh ekosistem sekolah selamat