KUALA LUMPUR: Sebanyak 53 kenderaan mewah bernilai jutaan ringgit setiap satu, disita menerusi Ops Luxury dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sekitar Lembah Klang, kerana tidak memiliki cukai jalan dan insurans yang sah.
Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata operasi itu dilaksanakan selama tiga hari bermula kelmarin hingga hari ini.
Katanya, antara disita ialah kenderaan utiliti sukan (SUV) ultramewah jenis Rolls-Royce Cullinan bernilai RM3 juta milik seorang ahli perniagaan terkenal.
Beliau berkata, kenderaan dikesan tidak memperbaharui cukai jalan dan insurans untuk tempoh paling lama, iaitu sejak 2022 pula membabitkan sebuah Mercedes yang turut disita dalam operasi itu.
“Sebanyak 53 kenderaan mewah pelbagai jenama disita, termasuk tiga daripadanya dipandu warga asing tanpa cukai jalan serta insurans yang mana ada antaranya disewa atau diberikan oleh majikan mereka.
“Banyak lagi yang kita kesan. Kita sudah ada senarai lebih 1,000 (kenderaan) dan saya memberikan amaran kepada pemilik kenderaan mewah ini supaya memastikan cukai jalan dan insurans diperbaharui,” katanya pada sidang media di Depoh Sitaan JPJ Kuala Lumpur, hari ini.
Selain kenderaan tiada cukai jalan dan insurans, Muhammad Kifli berkata, tiga warga asing terbabit turut didapati tidak memiliki lesen memandu yang sah, malah seorang daripada mereka mempamerkan lesen antarabangsa palsu.
Katanya, individu berkenaan mendakwa membeli lesen palsu itu ketika berada di Dubai, Emiriah Arab Bersatu, pada harga RM5,000.
Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti pemilik yang membenarkan warga asing berkenaan memandu kenderaan mereka, dan tindakan tegas akan diambil.
“Mereka (warga asing) menggunakan kenderaan mewah tanpa lesen memandu sah, dan yang paling merisaukan kita ialah tanpa cukai jalan serta tanpa perlindungan insurans.
“Jadi, bayangkan warga asing sewenang-wenangnya menggunakan kenderaan mewah di Malaysia tanpa mematuhi peraturan dan undang-undang.
“Justeru kali ini, kita memfokus betul-betul yang ‘luxury’ (kenderaan mewah). Antara berjaya disita kali ini ialah Rolls-Royce, Lamborghini, McLaren, Aston Martin dan BMW yang mana semuanya berharga jutaan ringgit,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhammad Kifli berkata, JPJ akan memperluaskan Ops Luxury ke seluruh negara bagi mengesan individu yang berada dalam senarai pemantauan.
Beliau berkata, alasan ‘lupa’ yang lazim diberikan oleh pemilik kenderaan terbabit, tidak dapat diterima dan tindakan tegas akan dikenakan.
“JPJ tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sangat tegas dan kita tidak ‘pilih bulu’.
“Jika sebelum ini orang kata JPJ hanya menahan motosikal atau kereta biasa, yang ini kita fokuskan (kenderaan mewah) di seluruh negara,” katanya.
Difahamkan, nilai cukai jalan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi Aston Martin ialah kira-kira RM13,000, Lamborghini (RM7,000) dan Rolls-Royce (RM7,000), berbeza mengikut kapasiti enjin. – BH
