23 Ahli Majlis hilang kepercayaan terhadap Datuk Bandar Pasir Gudang 

JOHOR BAHRU: Seramai 23 daripada 24 Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Mustaffa Kamal Samsudin.

Justeru, Ketua WHIP Ahli Majlis MBPG, Datuk Mohd. Amin Ahmad memaklumkan mereka membuat keputusan untuk memboikot mesyuarat penuh MBPG yang dijadualkan berlangsung, hari ini.

Menurutnya, tindakan itu dibuat demi menuntut pembaharuan dalam cara kepimpinan pentadbiran tertinggi MBPG sedia ada.

“Kami tidak lagi yakin dengan kepimpinan Datuk Bandar Pasir Gudang yang tidak menghormati peranan Ahli Majlis sebagai sebahagian daripada sistem semak dan imbang pentadbiran kerajaan tempatan. 

“Ahli Majlis berasa peranan kami tidak diiktiraf Datuk Bandar, sekali gus menyukarkan kami menjalankan tanggungjawab terhadap masyarakat di zon masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Mohd. Amin memdakwa, usaha pihaknya mengadakan rundingan dengan Datuk Bandar turut disambut dingin dengan pelbagai alasan diberi termasuk isu kesihatan, sedangkan pada masa sama beliau dilihat mengikuti lawatan luar yang bukan tanggungjawab hakiki jawatan berkenaan.

“Tindakan sedemikian jelas menunjukkan beliau enggan berhadapan dengan kami secara profesional dan berhemah, sedangkan Ahli Majlis mempunyai peranan untuk dimainkan demi kesejahteraan rakyat.

“Tindakan kami memboikot mesyuarat penuh menyebabkan ia gagal dijalankan, sekali gus segala usul dan dasar MBPG tidak dapat dibentang, dibahas mahupun diluluskan. Sehubungan itu, kami meminta agar desakan kami mendapat perhatian,” jelasnya.

Mohd. Amin menggesa kerajaan negeri mengambil serius perkara itu dengan melaksanakan langkah-langkah pemulihan sewajarnya.

“Tujuannya adalah agar semangat kerja berpasukan dapat diterapkannya kembali dalam pentadbiran MBPG serta mengembalikan maruah institusi kerajaan tempatan ini,” katanya.

More From Author

TRW terus dirundung malang

Ops Luxury: Rolls-Royce Cullinan milik ahli perniagaan terkenal antara 53 kenderaan mewah disita